4 feri baharu Pulau Pinang tiba, dijangka mula operasi bulan depan - Utusan Malaysia

4 feri baharu Pulau Pinang tiba, dijangka mula operasi bulan depan

SEBANYAK empat buah feri Pulau Pinang baharu yang dinamakan Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Teluk Duyung dan Teluk Kampi dilaporkan tiba di Pulau Pinang semalam sebelum dijangka beroperasi secara rasmi bulan depan. - Pic IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Perkhidmatan feri ulang-alik dari Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) dan Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) bakal lebih pantas dan lancar menerusi empat feri baharu yang tiba di negeri ini semalam.

Empat feri yang dinamakan Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Teluk Duyung dan Teluk Kampi itu dilaporkan berharga RM18 juta setiap satu dan dijangka mula beroperasi bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) Datuk V. Sasedharan berkata, keempat-empat feri berkenaan dibawa menggunakan sebuah kapal kargo dari limbungan kapal di Haiphong, Vietnam dan tiba di sini semalam.

“Dua daripada feri ditunda ke Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) di bahagian Pulau manakala dua lagi dibawa ke bahagian tanah besar di Seberang Perai.

“Keempat-empat feri ini akan memulakan operasi pada bulan hadapan di kedua-kedua terminal yang telah siap dinaik taraf,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, PPSB telah membelanjakan RM100 juta bagi pembelian feri dan naik taraf terminal terbabit.

Selain itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang akan mengadakan lawatan kerja di Pulau Pinang turut dijadual menaiki feri baharu berkenaan di SPCT pada Sabtu ini.

Sebelum ini, perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar dihentikan bermula 1 Januari 2021 manakala feri Ro-Ro dikhususkan untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.

Kesemua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya