3R: Sanusi perlu berani, sedia terima akibat mulut celuparnya - KDN - Utusan Malaysia

3R: Sanusi perlu berani, sedia terima akibat mulut celuparnya – KDN

SAIFUDDIN NASUTION Ismail tengah menerima replika cek sumbangan zakat wakalah daripada Mazlan pada Majlis Penyerahan Zakat Wakalah KDN dengan kerjasama PBLT) dan PDRM di IPK Pulau Pinang, George Town malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu berani dan bersedia berdepan kesan dan akibat daripada keceluparan dan kebiadapannya yang terus menyentuh isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, peringatan telah diberikan berulang kali sama ada oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain supaya isu berkenaan 3R itu tidak wajar sama sekali disentuh.

Bagaimanapun, jelasnya, Muhammad Sanusi dilihat masih memainkan isu tersebut yang disifatkan beliau sudah sampai ke tahap yang berbahaya.

“Kita boleh berbeza pendapat dan aliran, tetapi peringatan sudah diberi berulang kali sama ada oleh Perdana Menteri atau Ketua Polis Negara yang mana soal 3R tidak boleh dimainkan (disentuh).

“Laporan akhir (kes terkini berkaitan isu 3R melibatkan Muhammad Sanusi) menjadi signifikan perlunya tindakan tegas diambil, jika tidak kesannya sangat besar.

“Tidak ada lagi rasa hormat kepada institusi raja-raja Melayu seperti mana peranan mereka diiktiraf di dalam Perlembagaan.

“Institusi raja-raja Melayu ini dihina oleh orang Melayu sendiri, ini sudah sampai ke tahap yang berbahaya,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Wakalah KDN dengan kerjasama PBLT Sdn. Bhd. (PBLT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Razarudin dan Pengerusi PBLT, Tan Sri Mazlan Lazim.

Menurut Saifuddin Nasution, beliau percaya sebahagian besar rakyat tidak senang dengan sikap sesetengah pihak yang menyentuh mengenai isu 3R tersebut.

Jelasnya, negara juga tidak mampu berdepan dengan situasi pergolakan disebabkan persengketaan agama dan kaum, justeru harus berjalan atas hukum-hukum yang sudah ditetapkan.

Sehubungan itu, tambah Saifuddin Nasution, beliau meletakkan kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan pasukan PDRM yang diterajui Razarudin untuk melaksanakan hukum-hukum yang sesuai dengan undang-undang negara dalam mendepani cabaran termasuk menguruskan isu berkaitan 3R.

“Saya tahu cabaran pasukan keselamatan ini semakin berat dengan tugas hakiki KDN iaitu dalam soal memastikan keselamatan negara.

“Sebab itu, saya sentiasa memberi dukungan yang kuat dan meletakkan kepercayaan dan keyakinan terhadap kebijaksanaan yang ada pada teraju utama iaitu Ketua Polis Negara dan seluruh pimpinan utama (dalam menangani isu berkaitan 3R),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya