3R: PH, BN Selangor akan serah memorandum kepada Istana - Utusan Malaysia

3R: PH, BN Selangor akan serah memorandum kepada Istana

3R
DANIAL Al-Rashid berucap pada Himpunan Daulat Tuanku: Pertahan Institusi Diraja yang dianjurkan berhampiran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor akan menyerahkan satu memorandum kepada Istana Selangor berkaitan isu kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menghina Sultan Selangor pada Isnin ini.

Memorandum yang turut disertai beberapa pertubuhan kerajaan (NGO) itu akan diserahkan ke Istana Alam Shah, Klang kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Angkatan Muda PH Selangor, Danial Al-Rashid berkata, pihaknya sedang giat mengumpulkan tanda tangan semua pihak terlibat dan dokumen bagi menyokong memorandum tersebut sebagai simbolik menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Menerusi dokumen yang disertakan itu, kami mahu membuktikan sokongan rakyat termasuk anak muda Selangor mengenai isu berkenaan.

“Selain itu, ia memberi pengajaran kepada pihak lain bahawa kami tidak hanya duduk diam dan terus melawan selagi kes (Sanusi) berjalan dan dibicarakan,” katanya ketika ditemui selepas Himpunan Daulat Tuanku: Pertahan Institusi Diraja di luar pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Himpunan itu disertai lebih 100 penyokong BN Selangor dan empat NGO dengan turut dikawal ketat anggota polis.

Selasa lalu, Muhammad Sanusi Md. Nor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut mengenai pelantikan Menteri Besar Selangor oleh Sultan Selangor dan titah yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Perbuatan yang boleh menimbulkan rasa tidak setia kepada mana-mana Raja itu didakwa dilakukan di Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, pukul 11 malam, 11 Julai lalu.

Jelas Danial, memorandum itu juga merupakan kesinambungan daripada himpunan berkenaan.

“Solidariti itu jelas menyokong usaha mempertahankan institusi diraja Selangor dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan dilakukan Sanusi.

“Kita berharap perkara itu tidak akan berulang dan tiada lagi mana-mana pihak berkepentingan politik murahan mengutuk kepimpinan kesultanan negeri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya