34 individu dilantik Panel Penasihat Perubahan Iklim

34 individu dilantik Panel Penasihat Perubahan Iklim

NIK Nazmi Nik Ahmad (duduk, tengah) bersama Panel Penasihat Perubahan Iklim  selepas mempengerusian mesyuarat pelantikan mereka di KLCC, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melantik 34 ahli panel penasihat bagi memastikan penyertaan ke Persidangan Negara Ahli ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 28), di Dubai, November ini memberi manfaat kepada negara. 

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Panel Penasihat Perubahan Iklim dianggotai individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubahan iklim dan wakil daripada pelbagai sektor, antaranya daripada kementerian, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, syarikat utiliti, ahli industri, pakar akademik serta bukan akademik.

“Ahli panel penasihat ini akan menyumbang idea dan pandangan berdasarkan enam kluster utama iaitu Ekonomi dan Kewangan, Perdagangan dan Perindustrian, Sumber Asli, Tenaga, Pembangunan Lestari serta Teknologi dan Inovasi.

“Penubuhan panel adalah komitmen dan sumbangan negara kepada usaha global ke arah mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan meningkatkan daya tahan ke atas kesan perubahan iklim,“ katanya selepas mempengerusian mesyuarat pelantikan panel itu di KLCC, di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata, mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan gerak kerja panel penasihat yang baru dibentuk berkenaan.

“Mesyuarat ini tumpukan kepada persediaan delegasi negara yang akan diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke COP 28 di Dubai nanti. 

“Penubuhan panel penasihat ini adalah sebahagian daripada usaha kementerian bagi memastikan penyertaan negara ke persidangan COP 28 memberi manfaat dan nilai tambah kepada negara,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, persediaan untuk COP 28 telah dilakukan dan mereka menantikan persidangan itu dijalankan. 

“Perdana Menteri akan hadir ke persidangan di Dubai nanti dan saya yakin banyak perkara yang menyeronokkan menanti di sana nanti. 

“Cuma terdapat beberapa cabaran yang perlu kami hadapi. Tetapi kami dapat mengatasi cabaran dengan bagaimana cara kami bekerjasama dengan negara dan agensi lain,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya