PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan 31 lagi projek perumahan terbengkalai membabitkan 3,299 unit bagi tempoh 1 Mei hingga 31 Mei lalu.
Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, projek itu dipulihkan menerusi Pasukan Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai yang dipengerusikannya.
Beliau berkata, sejak Januari hingga Mei lalu pasukan itu berjaya memulihkan 149 projek perumahan swasta melibatkan 17,436 unit rumah bernilai RM15.2 bilion.
“Jumlah itu adalah 22.3 peratus daripada RM68.1 bilion meliputi RM50.5 bilion projek perumahan swasta sakit dan RM17.6 bilion projek perumahan swasta lewat.
“Secara keseluruhan, Pasukan Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai mengenal pasti sebanyak 124 projek lewat, 471 projek sakit serta 112 projek
terbengkalai,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, secara keseluruhan, sebanyak 149 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan iaitu sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau kembali lancar mengikut pemajuan yang dirancang.
Akmal berkata, pasukan khas itu menunjukkan peningkatan pencapaian dari segi menambah baik pelaporan status projek dengan mengambilkira nilai pembangunan kasar iaitu Nilai Pembangunan Kasar (GDV).
Menurutnya, mengambil kira GDV bagi projek lewat, sakit dan terbengkalai, pasukan khas itu akan mengadakan pertemuan bersama Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) untuk perbincangan yang lebih berfokus.
“Pasukan itu juga akan terus memperkemaskan kaedah pengenalpastian status projek perumahan swasta lewat dan sakit supaya kaedah penyelesaian
akan diambil lebih bersesuaian dan tepat mengikut masalah yang dihadapi.
“Selain itu, hasil pertemuan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 22 Mei lalu, sebanyak 21 daripada 44 projek perumahan swasta sakit yang mempunyai isu melibatkan TNB berjaya diselesaikan,” katanya.
Katanya, pasukan itu akan terus mempergiatkan libat urus dengan agensi-agensi teknikal yang lain seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) dan agensi-agensi teknikal yang lain mengikut keutamaan, malah turut melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
Dalam pada itu, katanya, pasukan khas juga akan terus turun padang untuk melawat ke tapak projek bagi memastikan menjadikan projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai akan dapat ditangani dengan lebih efektif di masa hadapan.
“Semua pihak berkuasa negeri turut diseru untuk turut sama berganding bahu dalam menangani masalah yang dihadapi oleh projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN