SEPANG: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyiapkan baki sebanyak 3,073 MyKiosk menjelang akhir tahun ini bagi menyediakan ruang perniagaan yang seragam, selamat dan selesa kepada peniaga.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, setakat bulan ini, kementerian meluluskan sebanyak 3,173 unit kiosk kepada 113 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berjumlah RM49.14 juta.
Menurut beliau, buat masa ini, sejumlah 100 unit kiosk disiapkan di lima lokasi melibatkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Pilah, Majlis Bandaraya Seremban dan Majlis Perbandaran Port Dickson.
“Ini adalah cara inovatif dan komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan rakyat, para peniaga kecil dengan semangat berdikari mereka akan dapat menjana pendapatan sendiri dan sebagai kerajaan kita sentiasa berdiri teguh bersama rakyat.
“Saya juga percaya inisiatif ini akan memberikan impak besar demi meningkatkan kualiti hidup rakyat serta pendapatan mereka,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran MyKiosk di Taman Putra Perdana di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, MyKiosk merupakan inisiatif yang didorong oleh kerangka Ekonomi Madani di mana ia memberi peluang kepada golongan B40 memulakan perniagaan, sekali gus memperbaiki kehidupan mereka.
“Dulu kita lihat banyak peniaga kecil di tepi jalan tanpa lesen, maka di bawah inisiatif ekonomi Madani, kerajaan akan mencadangkan kepada peniaga kecil tanpa lesen supaya mereka diputihkan menjadi peniaga berlesen,” ujarnya.
Tambahnya lagi, selain menggunakan imej, reka bentuk dan warna baharu, MyKiosk juga merupakan inisiatif ‘green kiosk’ pertama di negara ini yang menggunakan tenaga solar.
Beliau berkata, kos anggaran bagi setiap unit MyKiosk adalah antara RM15,000 hingga RM20,000 termasuk panel solar.
“Mereka bukan sahaja boleh berniaga pada waktu siang, malah pada waktu malam juga, jadi waktu perniagaan yang panjang itu dijangka membolehkan para peniaga menambah pendapatan mereka selain lokasi yang strategik.
“Kita beri satu kadar sewa yang sangat murah, satu hari paling mahal RM10. Kadang-kadang di peringkat majlis perbandaran ada juga yang menawarkan diskaun, hari ini kita lancarkan (di Putra Perdana) enam bulan tak perlu bayar sewa.
“Selepas itu, peniaga bayar sehari RM10 iaitu RM300 untuk satu bulan sebagai kos kepada PBT untuk kerja-kerja naik taraf dan meningkatkan hasil kerajaan tempatan,” katanya.
Kor Ming turut menegaskan, mana-mana penjaja yang didapati mengambil kesempatan dengan menyewakan kiosk kepada individu lain, kontrak sewaan mereka akan dibatalkan secara automatik.
Pelaksanaan inisiatif MyKiosk melibatkan beberapa kriteria seperti penempatan kiosk di tempat tumpuan orang ramai seperti di kawasan komersial dan perniagaan, kawasan pelancongan, dataran, berdekatan jalan raya utama dan lain-lain kawasan yang bersesuaia.
Keutamaan diberikan kepada golongan B40 dan penempatan semula peniaga sedia ada ke lokasi yang lebih strategik dan selamat. – UTUSAN