CAMERON HIGHLANDS: Kira-kira 300 metrik tan sayur-sayuran di pusat peranginan ini berdepan risiko layu dan hilang kesegaran untuk dipasarkan.
Ini susulan larangan terhadap kenderaan barangan beroperasi pada Jumaat hingga Ahad termasuk hari cuti umum bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertujuan mengurangkan kesesakan pusat peranginan itu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Setiausaha Pertubuhan Pekebun-pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, larangan itu adalah pada waktu puncak untuk petani memunggah hasil ke pusat pengumpulan, pusat pembungkusan dan pengendalian pasca tuai sebelum dipasarkan.
Jelasnya, sayur-sayuran adalah item penting dan mudah layu, jadi sekatan jalan raya seperti itu akan menjejaskan rantaian bekalannya.
“Ia membawa impak buruk kepada semua industri terlibat.
“Hasil pertanian kami perlu diagihkan dalam masa yang singkat untuk menjamin kesegaran dan mutu,” katanya di sini semalam.
Ee Mong berkata, selain sayur-sayuran, kira-kira 80 peratus bunga keratan dihasilkan di pusat peranginan tersebut adalah untuk pasaran eksport.
Katanya, kenderaan perlu mengangkutnya dari Kampung Raja sehingga Ringlet dan menuju Singapura atau Thailand.
“Bunga yang eksport ke Jepun, Hong Kong, Australia kena sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam masa tertentu,” katanya.
Selain itu beliau berkata, penduduk, pengguna dan peniaga juga menghadapi masalah kerana gagal mendapat atau membekalkan bahan penting seperti ikan, ayam dan buah-buahan yang kebanyakannya dari Perak.
“Dalam masa sekatan jalan, penduduk juga sukar memperoleh makanan segar dan peniaga enggan berniaga disebabkan hanya boleh berlepas selepas pukul 3 petang,” katanya.
Menurutnya, sejak sekatan kenderaan itu dilaksanakan khususnya kepada kenderaan komersial, ia langsung tidak mendatangan apa-apa kebaikan.
Sehubungan itu beliau merayu kepada pihak berwajib agar sekatan perjalanan itu dibatalkan untuk kepentingan semua industri berkaitan di Cameron Highlands. – UTUSAN