ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) bakal menampilkan lebih 30 peratus muka baharu untuk digandingkan dengan calon-calon berpengalaman bagi memikat hati pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, 12 Ogos ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pemilihan kesemua calon itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor terutamanya penerimaan rakyat terhadap personaliti calon.
“Kita sudah serahkan tiga nama dari setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada kepimpinan Pusat untuk dinilai dan terpulang kepada mereka untuk membuat pengumuman nanti.
“Antara faktor terpenting yang dinilai adalah penerimaan rakyat kepada personaliti itu. Kalau rakyat suka dan parti pun suka, insya-Allah kita boleh mencapai kemenangan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Tunku di sini, hari ini.
Ditanya mengenai kedudukan satu kerusi di Kedah yang sebelum ini dikatakan terdapat pertindihan dengan Pakatan Pakatan (PH), Mahdzir berkata, perkara itu sudah selesai selepas diserahkan kepada kepimpinan tertinggi kedua-dua gabungan untuk membuat keputusan.
“Sekarang ini segalanya sudah bersedia dan kita hanya tunggu pengumuman calon sahaja. Esok dijangka baru kita tahu bila senarai nama calon itu akan diumumkan,” katanya.
Mengulas lanjut Mahdzir berkata, beliau memiliki keyakinan tinggi terhadap kemampuan PH dan BN bagi berdepan PRN kali ini walaupun kedua-dua gabungan tersebut baru lapan bulan bekerjasama.
“Kerjasama ini berlaku di tiga peringkat iaitu nasional, negeri dan akar umbi. Alhamdulillah, kerjasama di ketiga-tiga peringkat itu nampak cantik dengan kepimpinan akar umbi di Kedah ini juga sudah menubuhkan jawatankuasa sesama mereka di setiap DUN untuk menjalankan kerja secara sistematik,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya BN Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, hubungan antara PH dan BN di Kedah cukup harmoni walaupun Perikatan Nasional (PN) jelas amat mengharapkan agar berlaku perpecahan antara mereka.
“Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sendiri sebelum ini membuat kenyataan kononnya PH dan BN akan bergaduh untuk pembahagian kerusi. Kini pembahagian kerusi sudah selesai dan tak ada satu pun perkataan kotor yang keluar daripada mulut mana-mana pemimpin kami hingga sekarang,” katanya. – UTUSAN