YAN: Hujan lebat yang melanda daerah ini sejak pukul 6 petang semalam menyebabkan 26 buah rumah penduduk di dua kampung dinaiki air dalam kejadian banjir kilat, malam tadi.
Kampung Teroi Bukit dan sekitarnya melibatkan 20 buah rumah, manakala enam buah lagi rumah yang terjejas adalah di Kampung Perigi yang dimasuki air setinggi antara 0.5 hingga 0.7 meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa (PPgB) Noorhamidi Ali berkata, air sungai Perigi naik mendadak sebelum melimpah memasuki kawasan dua kampung berkenaan.
“Bomba yang turut disertai agensi lain melakukan pemantauan dan menasihati penduduk mengambil langkah bersiap sedia untuk dipindahkan jika paras air semakin tinggi. Namun sehingga pukul 11 malam tadi, air didapati mulai surut dan tiada pusat pemindahan banjir di buka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, pihaknya membuat pemantauan berterusan di beberapa sungai di daerah ini untuk melihat keadaan semasa.
“Selain di Sungai Perigi, anggota kita turut berada di Sungai Gurun dan Sungai Singkir sejak malam tadi dan mendapati kesemua paras air diletakkan di bawah kategori berjaga-jaga dan sehingga pagi ini cuaca masih tidak menentu,” katanya. – UTUSAN