PUTRAJAYA: Seramai 250 petugas pasukan penyelamat bagi misi bencana di Turkiye pada Februari lalu menjadi kumpulan pertama menerima Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan.
Pingat itu pertama kali diwujudkan bagi mengiktiraf dan menghargai jasa, bakti serta pengorbanan anggota-anggota penyelamat yang terbabit misi bencana dan menyelamat di luar negara.
Majlis penganugerahan itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Armizan dalam ucapannya berkata, pingat itu bagi mengiktiraf peranan disumbangkan oleh wira-wira negara sewaktu berada di Turkiye yang terdiri daripada pelbagai anggota pasukan penyelamat.
“Ia termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Katanya, pasukan pertama petugas penyelamat negara mula digerakkan ke Turkiye pada 6 Februari lalu bagi menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap akibat gempa bumi di Gaziantep.
Armizan berkata, pasukan penyelamat Malaysia berjaya menyelamatkan lima mangsa yang masih hidup dan mengeluarkan 47 mangsa yang meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berhadapan dengan beberapa cabaran yang agak mencabar antaranya cuaca ekstrem di lokasi bencana, koordinasi logistik dan pengangkutan serta perbezaan bahasa dan budaya,” katanya.
Pada masa sama, katanya, ATM menghantar seramai 110 orang pasukan perubatan bagi mengendalikan Hospital Medan Malaysia (HMM) bermula dari 15 Februari hingga 23 Mac lalu.
Katanya, seramai 2,415 pesakit berjaya dirawat termasuk 83 kes pembedahan.
“Sumbangan yang dicurahkan ini mengharumkan nama dan melonjakkan lagi imej Malaysia di pentas antarabangsa yang sudah pasti membanggakan kita semua.
“Ia akan menjadi tanda aras kepada Malaysia semasa menyertai SAR di luar negara pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN