25 peratus jalan rosak di Selangor siap diturap - Utusan Malaysia

25 peratus jalan rosak di Selangor siap diturap

Amanah
IZHAM Hashim ditemui pemberita menjelaskan perkembangan projek turapan mega oleh kerajaan negeri ketika meninjau permulaan pelebaran jalan di Persiaran Mokhtar Dahari dekat Puncak Perdana di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Projek turapan mega yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi membaiki 118 jalan rosak di seluruh Selangor kini 25 peratus siap sehingga akhir bulan lalu dan dijangka diselesaikan sepenuhnya pada hujung bulan ini.

Kesemua laluan itu rata-ratanya melibatkan jalan negeri di kesemua sembilan daerah termasuk sekitar Petaling Jaya dan bandar raya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, projek penurapan jalan bagi fasa pertama melibatkan 17 jalan didapati hampir siap 94 peratus setakat ini.

“Bagi fasa kedua, sebanyak 25 projek penurapan dilaksanakan dengan kemajuannya setakat ini mencapai 40 peratus.

“Fasa ketiga pula kini mencapai 14 peratus melibatkan penurapan jalan sebelum diteruskan sehingga fasa keempat dan kelima yang dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini, ” katanya selepas meninjau projek menaik taraf Persiaran Mokhtar Dahari, hari ini.

Jelas beliau, turapan berjumlah RM50 juta itu melibatkan empat agensi iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

“Projek penurapan mega itu hanya melibatkan jalan di bawah kerajaan negeri dan bukannya Jalan Persekutuan. Pelaksanaan projek itu merupakan peruntukan tambahan yang diperoleh kerajaan negeri daripada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS),” ujarnya.

Tambah Izham, kebanyakan penurapan jalan itu di bawah PBT dengan melibatkan sebanyak 40 projek.

“Sehingga kini, sejumlah 17 daripadanya telah siap sepenuhnya manakala bakinya masih dalam proses pelaksanaan. Jalan itu antaranya tiga jalan di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dua jalan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan masing-masing satu projek di setiap PBT,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM5.2 juta bagi pemasangan 752 lampu diod pemancar cahaya (LED) di seluruh negeri ini.

“Pelaksanaan projek itu memasuki fasa kedua dan dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini. Fokus pemasangan itu melibatkan semua jalan termasuk kawasan perumahan, taman permainan dan rizab dengan menggunakan tenaga solar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya