200,000 tanda tangan Proklasmasi Orang Melayu - Utusan Malaysia

200,000 tanda tangan Proklasmasi Orang Melayu

Orang Melayu
DR. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar selepas sesi dialog awam Proklamasi Orang Melayu di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sehingga hari ini, lebih 200,000 tanda tangan Proklamasi Orang Melayu (POM) sudah dikumpulkan sejak dilancarkan pada Mac lalu sebagai agenda menyatukan masyarakat merentasi parti politik.

Pengasasnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun pengumpulan tanda tangan yang disifatkan sebagai manifestasi orang Melayu terhadap kerajaan itu akan diteruskan sebelum beliau menentukan hala tujunya.

“Itu kemudian, kita akan tentukan. Tetapi kita punya tujuan hendak satukan orang Melayu, bukan hendak satukan parti, fasal parti tak boleh bersatu. Setiap parti ada perjuangan masing-masing, tetapi kita hadapi masalah orang Melayu dan cuma orang Melayu sahaja boleh selesaikan masalah mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri dialog awam POM, hari ini.

Beliau menambah sesi dialog tersebut diadakan dan dicadangkan dianjur secara bersiri berikutan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos ini.

Sehubungan itu, beliau menyelar segelintir pihak termasuk badan profesional yang menyelar tindakannya meneruskan proklamasi ini dengan membangkitkan isu orang Melayu sebagai menggugat perpaduan pelbagai kaum di negara ini.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, tidak adil bagi orang Melayu jika mereka tidak boleh membangkitkan hal-hal yang berkaitan dengan bangsa sendiri dan perkara itu dianggap rasis sedangkan ia tidak menyentuh kaum lain.

“Kita hari ini dapati banyak larangan oleh pihak kerajaan, apa yang kita kata itu salah, apa yang mereka kata itu tak patut. Mereka cakap pasal multiracialism, kita bercakap fasal Melayu. Oh, itu rasis! Saya tak faham.

“Kalau mereka boleh bercakap fasal multiracialism, kita juga boleh bercakap fasal race kita, dalam multiracial ini. Jadi, ini ketidakadilan sebab itu dengan adanya perjumpaan town hall ini maka dapatlah saya jawab sedikit sebanyak soalan-soalan daripada peserta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir dalam perkembangan lain berterusan mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak berupaya menyelesaikan isu ekonomi, politik dan sosial.

“Kita tak banyak masa, kita hendak buat (dialog awam) fasal ada pilihan raya, kita hendak supaya janganlah orang yang kita tahu tak dapat perintah negara, tak dapat selesaikan masalah ekonomi, politik, sosial semuanya tak dapat.

“Cuma hari-hari kita dengar Perdana Menteri buat ucapan. Hari ini, Perdana Menteri kata hendak semak gaji, tetapi hendak beri tak boleh sebab duit tak ada. Semaklah sampai esok, tahun depan pun semak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya