2,000 orang 'serbu' air terjun Gunung Ledang

2,000 orang ‘serbu’ air terjun Gunung Ledang

LEBIH 2,000 orang mengunjungi air terjun Gunung Ledang yang dibuka semula kepada pengunjung bermula kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Hampir 2,000 orang memeriahkan hari pertama pembukaan semula air terjun Gunung Ledang selepas setahun ditutup bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kemudahan di lokasi rekreasi tersebut.

Bagi Abdul Rahman Abdul Ghani, 54, dan isteri, Arbaiyah Otoh, 52, persiapan untuk berkelah bersama-sama keluarga di Gunung Ledang telah dibuat sejak tiga hari lalu.

“Isteri saya bangun seawal pukul 5 pagi untuk memasak nasi lemak buat juadah kami sekeluarga semasa berkelah. Ada juga makanan ringan lain seperti roti dan air kotak untuk anak-anak alas perut selepas mandi-manda.

“Kami sangat gembira, teruja dan memang tidak sabar untuk berkelah di sini setelah lebih tiga tahun tidak ke sini sejak pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Arbaiyah turut berkongsi minat dengan suaminya yang menggemari aktiviti perkelahan dan perkhemahan di hutan lipur.

“Kami pernah berkelah dan berkhemah di Ulu Yam, Batang Kali, Eco Rimba Rawang, Port Dickson dan lain-lain tempat tetapi Hutan Lipur Gunung Ledang amat istimewa di hati kami.

“Kedudukannya yang hampir dengan Segamat kira-kira satu jam memudahkan persiapan dan perjalanan kami. Alhamdulillah pembukaan semula Gunung Ledang ini sedikit sebanyak melegakan kami yang suka beriadah menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya.

ABDUL Rahman Abdul Ghani bersama-sama isteri serta keluarga berkelah di air terjun Gunung Ledang sempena pembukaan semula pusat rekreasi berkenaan.

Pasangan tersebut turut berharap nama gah Gunung Ledang dapat dijaga oleh pihak berkuasa sambil menggesa orang ramai supaya menjaga kebersihan taman legenda itu.

Sementara itu, Nurul Ain Zainal, 29, serta suami, Dzulfikri Mohd. Rashid, 31, sanggup memandu dari Jasin, Melaka untuk bersama-sama merasai kemeriahan pembukaan semula air terjun tersebut kepada kunjungan awam.

“Selepas subuh kami sudah keluar dari rumah di Jasin memulakan perjalanan ke Gunung Ledang. Kami anggap hutan lipur ini sebagai terapi minda apabila dapat mandi-manda dengan air terjun yang dingin dan nyaman.

“Banyak sudah berubah di sini. Banyak infrastruktur yang baharu dibina dan dibaik pulih seperti tandas dan tangga-tangga menyusuri air terjun. Kali terakhir kami datang ke Gunung Ledang pada tahun 2019, sebelum pandemik Covid-19 melanda,” kongsinya.

Sempena pembukaan semula pusat rekreasi tersebut, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) turut menganjurkan Karnival Gunung Ledang selama tiga hari mulai Sabtu lalu.

Pengarah PTNJ, Taufik Bahar berkata, pelbagai acara menarik diadakan termasuk Fun Run, Fun Ride, gerai jualan, pertandingan karaoke, persembahan motosikal serta pameran oleh agensi kerajaan dan swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN