PUTRAJAYA: Golongan majikan perkhidmatan kurier digesa lebih bertanggungjawab dengan memberi lebih banyak pendedahan terhadap pekerja dalam pembangunan kemahiran melalui program berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ia bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan pekerja menerusi penyediaan latihan dan pembinaan kapasiti yang mencukupi.
Katanya, majikan turut bertanggungjawab menyediakan kemajuan kerjaya yang adil, pampasan dan faedah, perlindungan kesihatan dan menawarkan kemudahan keselamatan asas terbaik untuk melindungi keadaan kesihatan fizikal pekerja yang membawa kepada peningkatan kepuasan kerja dan produktiviti.
“Ini akan membawa kepada prospek masa depan yang lebih baik dan industri yang mampan secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Hari Penghargaan Industri Kurier 2023 di sini hari ini.
Jelasnya, industri kurier menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 160,000 rakyat Malaysia hari ini dan ia akan terus berkembang sejajar dengan sasaran kadar pertumbuhan sebanyak 30 bungkusan (parcels) per kapita menjelang 2025.
“Kita mencapai 21.4 bungkusan per kapita pada tahun lalu dan pertumbuhan dalam mengendalikan pakej sudah tentu memerlukan infrastruktur yang mantap dan sumber manusia cekap bagi membina kapasiti dan keupayaan industri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fahmi menggalakkan semua pemegang lesen untuk menyertai program MyKurier hasil inisiatif Postal Forum serta menerapkan budaya keselamatan dalam organisasi.
MyKurier merupakan program yang menyediakan maklumat bertaraf bintang untuk orang awam yang memaparkan pengendali mana menawarkan perkhidmatan terbaik dari segi perkhidmatan dan penyampaian keselamatan dan membantu mereka membuat keputusan. – UTUSAN