KANGAR: Sebanyak 14 pasukan bakal membawa cabaran bagi merebut kejuaraan Liga Super Perlis 2023 yang membuka tirai pada 21 Julai ini.
Penganjuran liga yang dijenamakan semula di bawah sistem Liga Bola Sepak Perlis itu merupakan satu platform bagi melahirkan bakat-bakat baharu dalam arena sukan bola sepak di negeri ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, melalui penganjuran liga ini, pihaknya yakin bakat-bakat baharu akan dapat dibentuk dalam masa beberapa tahun akan datang bagi mengembalikan semula kegemilangan pasukan bola sepak Perlis seperti sebelum ini.
“Saya juga menyeru Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) supaya dapat memainkan peranan mereka bersama bantuan daripada pihak kerajaan negeri untuk terus membantu supaya sukan bola sepak dapat berkembang baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Liga Super Perlis 2023 di Dewan Bankuet Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM150,000 bagi penganjuran Liga Super Perlis 2023 dan Liga Tunas Perlis 2023 pada tahun ini.
“Saya juga berharap agar setiap pihak dapat bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi dan sentiasa mengamalkan sikap professional dalam menguruskan pasukan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi penganjuran liga ini dapat membuka ruang buat pemain muda untuk mempamerkan bakat mereka sekali gus menjadi pelapis pada masa hadapan.
Katanya, FAM juga sememangnya telah lama mewujudkan liga-liga berstatus amatur bagi menggalakan penglibatan golongan muda dalam melahirkan bakat-bakat baharu ke peringkat lebih tinggi.
“Asas bagi melahirkan pemain muda ini haruslah bermula dari bawah dan usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri ini diharap dapat menjadi dorongan dalam melahirkan bakat baharu,” katanya.
Dalam majlis sama, Mohd Shukri turut berkesempatan menyampaikan Insentif Kemenangan Sukan SEA dan Para ASEAN Kemboja 2023 kepada seramai 13 orang atlet negeri ini berjumlah RM18,625.-UTUSAN