12 saksi dipanggil bantu siasatan kes rasuah curi REE - Utusan Malaysia

12 saksi dipanggil bantu siasatan kes rasuah curi REE

AZAM Baki (hadapan, tengah) bergambar bersama pengamal media pada program Cakna Rasuah bersama Media peringkat Zon Timur di Kuala Nerus, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil seramai 12 orang saksi untuk merakam keterangan bagi bantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah, setàkat ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, seramai 12 orang saksi tersebut melibatkan pegawai  Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan syarikat swasta yang terlibat dalam perlombongan REE tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, pihaknya belum memanggil ahli politik termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam membantu siasatan tersebut.

“Belum ada orang politik yang dipanggil untuk memberi keterangan, sesiapa sahaja akan dipanggil untuk bagi keterangan mana yang difikirkan perlu, mungkin cepat atau lambat sahaja.

“Nak siasat bukan (secara) terjah, kena buat pengesahan dan panggil saksi berkenaan. Nak pastikan hal berkaitan prosedur untuk luluskan pengeluaran REE,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Cakna Rasuah bersama Media peringkat Zon Timur di sini, hari ini.

Azam memberitahu, Muhammad Sanusi juga akan dipanggil untuk membantu siasatan selepas terdapat surat berkaitan perlombongan REE yang ditandatanganinya viral di media sosial.

“Ada surat viral di internet, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pun akan dipanggil sebab dia tandatangan surat itu,” katanya.

Beliau menambah, SPRM juga sedang mengesan beberapa saksi dari China untuk melengkap siasatan.

“Saksi dari China itu dikatakan membuat pelaburan kepada (aktiviti) perlombongan REE ini,” ujarnya.

Ditanya adakah SPRM ditekan pihak tertentu untuk mempercepatkan siasatan kes REE susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir, Azam berkata, beliau menyangkal kenyataan tersebut dan perkara itu hanya kebetulan berlaku dalam tempoh ini.

“Tiada siapa menekan kami, ini cuma secara kebetulan. Sama ada kerana PRN atau tidak, ia bukan masalah, SPRM dalam hal berkaitan apa juga isu rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan, yag ada merit untuk siasat, kita siasat,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan seorang pegawai kanan MBI Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua suspek yang berusia 63 dan 40 tahun itu direman tiga hari hingga 21 Julai ini selepas ditahan di sekitar Alor Setar, Kedah serta ibu negara, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya