KUALA NERUS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 individu termasuk dua daripada sebuah agensi penguat kuasa yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa bernilai lebih RM23 juta sejak 14 Julai lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya dijangka dapat menyiapkan siasatan berhubung kes cubaan melupuskan sebanyak 1.8 tan sisik tenggiling tersebut dalam tempoh dua minggu.
Menurutnya, tangkapan menerusi Op Jaguar telah lengkap dan tiada lagi tangkapan baharu.
“Kes yang kita siasat ini adalah satu bentuk rasuah dan salah guna kuasa dalam pelupusan binatang yang dilindungi oleh hidupan liar (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sini, hari ini.
Menurut Azam kes tersebut adalah hasil maklumat yang diterima pihaknya daripada badan bukan kerajaan (NGO) luar negara dan satu pihak autoriti dari Amerika Syarikat.
“Kerjasama dengan pihak luar amat baik sekarang ini kerana dengan ini kita dapat selamatkan hidupan liar daripada terpupus. Ini merupakan sindiket besar melibatkan sindiket antarabangsa,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, SPRM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dipercayai turut menyogok penguat kuasa serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram, dalam serbuan di Klang, Selangor dan ibu kota pada 14 Julai lepas.
Menerusi serbuan di Klang, suruhanjaya itu merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai kira-kira RM23.4 juta, manakala di Kuala Lumpur pula rampasan membabitkan beberapa kenderaan mewah yang mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut. – UTUSAN