LUMUT: Umat Islam perlu berusaha menjadi lebih baik seiring dengan peningkatan usia pada setiap tahun.
Bercakap di hadapan 36,000 orang yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan ahli keluarga mereka serta penduduk sekitar Manjung di sini, penceramah terkenal dari Indonesia, Abdul Somad Batubara berkata, orang Islam yang tidak berusaha menjadikan dirinya lebih baik di sisi Allah selaras peredaran tahun dan peningkatan usia adalah berada dalam kalangan manusia yang rugi.
Beliau berkata, ini kerana ajal boleh datang pada bila-bila masa sahaja dan lebih malang jika berlaku ketika belum sempat bertaubat.
Sehubungan itu, beliau menyarankan orang Islam menjadikan permulaan tahun hijrah Khamis ini sebagai azam untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik di sisi Allah berbanding tahun hijrah sebelumnya.
“Orang Islam yang beruntung ialah mereka yang dapat menjadikan dirinya lebih baik di sisi Allah berbanding tahun sebelumnya manakala mereka yang tidak berubah adalah orang yang rugi.
“Sebaliknya, mereka yang menjadi lebih buruk di sisi Allah berbanding tahun sebelumnya adalah orang yang terlaknat,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Stadium TLDM Pangkalan TLDM Lumut sempena sambutan Maal Hijrah 1445.
Hadir sama, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.
Abdul Somad dalam siri jelajahnya selama empat hari di negara ini dengan bermula di Dataran Ayer Keroh, Melaka, malam kelmarin.
Di Perak, selain Stadium TLDM, beliau juga dijadual mengadakan ceramah di Masjid Nurul Hidayah, Seri Manjung. – UTUSAN