IPOH: Dijangkakan seramai 10,000 orang akan hadir ke Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital, Mastura Ahmad Mustafa berkata, banyak gerai pameran dan aktiviti sampingan akan dianjurkan yang boleh menarik perhatian penduduk Perak khususnya sekitar Ipoh.
Katanya, ini termasuklah agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun saman pada esok, jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma serta penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam.
Tambahnya, program kali ini juga akan diadakan larian dan berjalan dinamakan sebagai 6,600 Langkah Perpaduan sempena ulangtahun ke-66 Hari Kemerdekaan.
“Jangkaan kami adalah sebanyak 10,000 orang.
“Saya mengharapkan penduduk Perak khususnya Ipoh akan hadir ke penganjuran ini sebagai meraikan bulan Kebangsaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 esok dengan membacakan teks ucapan pelancaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Akan turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. – UTUSAN