10 gerai rosak dibadai ribut - Utusan Malaysia

10 gerai rosak dibadai ribut

SEBUAH gerai menjual kuih terbalik dibadai ribut di Jalan Klebang dekat Batang Tiga, Melaka. - MINGGUAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 10 gerai rosak teruk dipukul ribut dalam kejadian di Jalan Klebang, Batang Tiga dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, semua peniaga bertempiaran lari apabila secara tiba-tiba ribut melanda menerbangkan khemah, meja, kerusi dan pelbagai barangan sewaktu hujan lebat.

Seorang peniaga lemang, Syafirul Hakimi Syafirul Bahrin, 24, berkata, ketika kejadian dia dan beberapa pekerja sedang berkemas menutup perniagaan.

“Khemah yang saya sewa diterbangkan termasuk meja dan kerusi. Kami panik dan lari ke arah kedai berhampiran untuk berlindung kerana takut kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini.

Katanya, ribut selama hampir sejam itu turut menjejaskan beberapa buah gerai berhampiran.

Sementara itu, tinjauan mendapati, hampir 10 buah gerai yang menjual lemang, burger, buah tembikai dan minuman rosak dilanda ribut di Jalan Klebang Batang Tiga, berhampiran pasar raya Family Store.

Seorang peniaga burger yang juga seorang orang kurang upaya (OKU), Saiful Herman, 35, berkata, dia terkejut khemahnya tercabut akibat dilanda ribut.

Katanya, ketika kejadian dia sedang memasak burger yang dipesan seorang pelanggan sebelum dikejutkan dengan kejadian itu.

“Habis burger, roti, peralatan memasak burger termasuk meja dan kerusi bersepah di atas tanah. Pelanggan saya lari menyelamatkan diri dan saya serta dua rakan menahan khemah daripada diterbangkan ribut,” jelasnya.

Peniaga lemang, Mohd. Haikal Abdul Malik, 22, pula berkata, ketika kejadian berlaku dia serta tiga pekerjanya sedang berkemas untuk menutup perniagaan.

“Kami dikejutkan dengan ribut yang datang secara tiba-tiba habis khemah tercabut, besi roboh, meja, kerusi pula tunggang-langgang,” katanya.

Katanya, dia bernasib baik berjaya menyelamatkan diri daripada ditimpa sebarang kecederaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN