DATUK Yusni Hamid adalah nama yang cukup besar dalam industri seni negara. Besar sumbangan dan jasa yang dicurahkan penyanyi bertaraf legenda ini kepada dunia hiburan tanah air.
Biduanita berusia 71 tahun ini cukup terkenal dengan lagu-lagu tradisional dan asli, termasuklah lagu-lagu keroncong yang menjadi antara genre pilihan ketika beliau membuat persembahan.
Yusni memiliki enam album sepanjang bergelar artis rakaman. Beliau juga mempunyai lima single popular termasuk Diwajahmu Ku Lihat Bulan, Aku Rindu dan Malaysia Tanah Airku.
“Keluarga saya bukanlah orang senang. Kami dahulu tinggal di sekitar kawasan setinggan di Kampung Semarang, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Kampung Pandan.
“Saya tidak berpeluang untuk belajar tinggi, hanya sampai tingkatan dua sahaja. Saya terpaksa berhenti sekolah selepas ayah saya, Mohd. Shariff meninggal dunia. Tetapi rezeki saya rupanya Allah SWT lorongkan dalam bidang nyanyian,” katanya.
Cerita Yusni, minat menyanyi dalam dirinya tertanam sejak usia kecil lagi. Meskipun tidak mendapat persetujuan keluarga, Yusni tidak menoleh ke belakang, tetap meneruskan impian untuk menjadi penyanyi.
“Saya minat menyanyi sejak dibangku sekolah lagi namun saya tak tahu dari mana datangnya semangat untuk terus berkecimpung dalam bidang ini.
“Orang dulu-dulu menyimpan persepsi negatif terhadap dunia seni. Sebab itu, dahulu saya terpaksa rahsiakan aktiviti nyanyian saya. Mak ayah saya hanya tahu saya menyanyi selepas melihat saya keluar dalam satu rancangan televisyen tempatan.
“Keadaan dulu berbeza dengan sekarang yang mana penglibatan anak-anak sekarang dalam dunia seni mendapat sokongan mak ayah mereka. Dahulu tak macam sekarang, lain keadaannya,” ceritanya.
Kongsi Yusni lagi, beliau tidak mendapat pendedahan formal terhadap dunia nyanyian kerana dalam keluarganya tidak ramai yang minat terhadap dunia seni.
“Dalam keluarga, hanya saya dan arwah abang saya sahaja yang berminat kepada dunia seni.
“Tetapi arwah tidak teruskan perjuangannya, cuma sempat mencipta sebuah lagu bertajuk Keraka yang dimuatkan dalam salah sebuah album saya,” sambungnya.
MENYANYI DI KELAB MALAM
Kelab malam adalah tempat di mana penyanyi bersuara gemersik ini mengasah bakat dan menimba pengalaman sebelum menjadi penyanyi rakaman.
Kata Yusni, di tempat itulah dia belajar selok-belok menjadi penyanyi selain berkenalan dengan ramai yang datang daripada pelbagai latar belakang.
“Saya hanya mula menyanyi di kelab malam pada 1968. Tetapi saya terpaksa rahsiakannya daripada pengetahuan mak ayah kerana mereka tak berapa setuju saya jadi penyanyi.
“Selepas 10 tahun, saya ditawarkan pula menyanyi di sebuah kelab eksklusif di Taman Perdana, Kuala Lumpur selama sembilan tahun sebelum berpindah ke Regent Lounge Kuala Lumpur. Terlalu banyak pengalaman yang saya timba sepanjang tempoh tersebut.
“Dari situ, saya dipanggil untuk membuat persembahan sempena program televisyen di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Pada masa sama, saya juga mula dan berterusan menerima tawaran untuk menyanyi di majlis-majlis yang diadakan di istana,Alhamdulillah,” kongsinya.
BUKAN SEKADAR PENYANYI KERONCONG
Kata Yusni, sebagai penyanyi, dia tidak pernah terikat dengan satu jenis genre muzik sahaja. Jelasnya, banyak genre lain, termasuk lagu Pop dan balada yang sering dibawakan ketika membuat persembahan.
“Saya berpeluang menyanyi pelbagai genre lagu dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Mandarin, lagu-lagu asli, tradisional dan sebagainya.
“Ramai yang berpandangan saya hanya menyanyikan lagu-lagu asli lebih-lebih lagi Keroncong.
“Namun ramai juga yang tak tahu, saya dulu sering juga membawakan lagu-lagu berentak disko dan sebagainya. Cuma saya ini bukanlah penyanyi yang pandai menari,” selorohnya.
Dalam masa sama, penyanyi yang lemah lembut tutur bicaranya ini juga mengidolakan penyanyi-penyanyi antarabangsa yang padanya banyak memberi inspirasi untuk berkecimpung dalam dunia seni suara.
“Saya amat mengidolakan penyanyi, Dion Warwick dan pada masa sama banyak belajar menyanyi menerusi program televisyen terbitan Amerika Syarikat, The Andy Williams Show yang ketika itu ada ditayangkan di saluran televisyen tempatan,” katanya yang membesar dengan menonton set televisyen hitam putih.
PENYANYI DIRAJA
Itu antara gelaran yang diberikan buat biduanita terhormat ini gara-gara kekerapannya membuat persembahan di majlis raja-raja. Yusni berkata, dia bersyukur atas peluang yang diberikan meskipun tidak pernah meminta untuk diberi gelaran sedemikian.
“Saya pun tak pasti dari mana datangnya julukan penyanyi diraja itu, namun memang saya banyak terima peluang menyanyi di majlis-majlis diraja. Saya rasa diri saya cukup bertuah,” katanya.
Bila ditanyakan tentang kenangan manis sepanjang menjadi penyanyi, kata Yusni, membuat persembahan di hadapan tetamu kenamaan antara yang tidak dapat dilupakannya.
“Saya pernah menaiki kenderaan khas diiringi pengawal menuju kediaman rasmi Seri Perdana untuk menghiburkan orang kenamaan termasuk isteri Presiden Amerika Syarikat terdahulu Ronald Reagan, Nancy Reagan yang ketika itu datang membuat lawatan ke Malaysia,” kongsinya.
13 MEI 1969
Tarikh tersebut merupakan tanggal penting dalam sejarah negara apabila berlakunya tragedi berdarah membabitkan rusuhan kaum yang menjadi kemuncak kepada masalah perpaduan di Malaysia .
Yusni, yang ketika itu masih remaja, menceritakan pengalamannya terpaksa keluar bekerja, membuat persembahan di sebuah kelab di ibu negara.
“Ketika itu diisytiharkan darurat. Pemerintah laksanakan kawalan pergerakan. Namun saya tetap dibenarkan keluar bekerja, diminta membuat persembahan di sebuah kelab eksklusif di ibu negara yang operasinya diteruskan meskipun dalam keadaan ketidaktentuan pada waktu itu.
“Memang takut juga pada waktu itu. Tetapi saya rasa selamat kerana perjalanan saya pergi dan balik ke kelab tersebut diiringi polis dengan menaiki kenderaan khas. Itu adalah antara pengalaman menarik yang dapat saya kongsikan sepanjang menjadi penyanyi,” terangnya.
KEKAL AKTIF MENYANYI
Sakit lutut yang sedikit sebanyak memperlahankan pergerakan tidak menghalang penyanyi kesayangan ramai ini meneruskan perjuangan seninya. Kata Yusni, dia tetap memenuhi undangan membuat persembahan untuk bertemu peminat tersayang.
“Baru-baru ini saya pergi ke Singapura untuk membuat persembahan sempena konsert Simfoni Keroncong Nusantara membabitkan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
“Selepas ini, saya akan tampil dalam satu lagi konsert muzik keroncong, Apresiasi Irama Keroncong Malaysia yang akan diadakan di Istana Budaya pada 5 dan 6 Ogos depan,” ceritanya.
Dalam masa sama, Yusni memaklumkan buat masa ini, dia belum ada perancangan untuk menghasilkan lagu atau album baharu. Namun, berharap sekali berpeluang untuk berbuat demikian satu hari nanti.
“Dalam keadaan sekarang bukan senang untuk hasilkan album, waima single sekalipun. Di Malaysia keadaannya lain, penyanyi lama jarang diberi tawaran untuk rakamkan single baharu.
“Saya tak tahu bila lagi akan rakam single baharu. Insya-Allah, kalau diberi kesihatan dan umur yang panjang, memang ada keinginan ke arah itu,” jelasnya.