Wanita terkejut jumpa biras tidak bernyawa tepi katil

Wanita terkejut jumpa biras tidak bernyawa tepi katil

ANGGOTA polis mengangkat mayat seorang wanita OKU lembam yang ditemukan mati di rumahnya di Pekan Ayer Hitam, Jerlun. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Seorang wanita terkejut apabila menemukan birasnya dalam keadaan sudah tidak bernyawa di tepi katil dalam bilik tidur sebuah rumah di Pekan Ayer Hitam, di sini hari ini.

Wanita terbabit, Ruhaina Radzali, 41, berkata, mangsa, Nur Syahani Safarina Ibrahim, 42, disedari berada dalam keadaan itu ketika mahu menghantar makanan ke rumahnya pada pukul 12.15 tengah hari tadi.

Menurut Ruhaina, sebaik tiba di rumah itu, dia terkejut apabila suami mangsa berusia 38 tahun yang mengalami tekanan perasaan memaklumkan bahawa isterinya sudah meninggal dunia.

“Saya terkejut bila dia beritahu ‘bini mana ada, dia mati dah’ sebelum saya terus masuk ke dalam rumah untuk mencarinya. Biras saya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam didapati sudah tidak sedarkan diri dalam keadaan duduk sambil kepalanya berada di atas katil,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Katanya, badan mangsa juga didapati sudah sejuk sebelum berlari keluar dan memaklumkan perkara tersebut kepada jiran yang lain.

“Setelah jiran-jiran tiba, saya maklumkan pula kepada klinik kesihatan berhampiran dan pemeriksaan mendapati Nur Syahani telah meninggal dunia,” ujarnya.

Katanya, ketika kejadian, suami mangsa duduk di meja depan rumah sambil seorang anaknya yang juga OKU autisme berusia sembilan tahun sedang makan nasi di meja sama.

Sementara itu katanya, lelaki terbabit mengalami tekanan mental kira-kira setahun lepas setelah berhenti kerja.

“Sebelum ini dia memang tak ada masalah tetapi selepas berhenti kerja, dia sering bercakap seorang diri sambil menjerit, namun dia tak pernah memarahi isterinya,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) kerana pemeriksaan oleh unit forensik mendapati tiada unsur jenayah, pergelutan mahu pun darah di lokasi kejadian.

“Selain itu keluarga wanita terbabit memaklumkan mangsa ada mengadu terasa penat pada semalam dan dia dikatakan menghidap penyakit semput selain kencing manis,” katanya.

Tambahnya, suami wanita itu turut dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya