KLANG: Seorang wanita menempuh detik cemas apabila terperangkap dalam kereta Perodua Aruz dipandunya yang ditenggelami banjir di Jalan Meru, Taman Perindustrian Meru di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi menimpa mangsa berusia 57 tahun itu bagaimanapun disedari orang awam yang segera menyelamatkannya.
Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 5.44 pagi.
Katanya, sepasukan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dikerah dalam operasi menyelamat itu.
“Pemeriksaan mendapati sebuah kereta terperangkap dalam limpahan air sehingga mencecah bumbung di jalan berkenaan sedalam kira-kira 1.3 meter.
“Pemandu wanita itu bagaimanapun berjaya keluar dengan bantuan orang awam sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamadul Ehsan, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan banjir itu turut surut.
Terdahulu, di sekitar daerah ini dan Shah Alam dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan yang mengakibatkan jalan-jalan utama seperti di Lebuhraya Setia Alam, Lebuhraya Persekutuan, Meru dan Bukit Raja. – UTUSAN