SHAH ALAM: Tindakan seorang wanita yang tular memotong dan mencuri rantai leher seorang kanak-kanak perempuan di tapak Karnival Jom Heboh di Stadium Shah Alam, Seksyen 13 di sini, memakan diri apabila dicekup polis semalam.
Penahanan suspek berusia 35 tahun itu dilakukan hasil rakaman video pengunjung yang menyedari kejadian menimpa mangsa berusia empat tahun berkenaan, kira-kira pukul 5.40 petang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang wanita yang merakam video kejadian itu dan mendapati insiden berkenaan berlaku ketika ramai orang.
“Suspek kemudian mengambil kesempatan untuk mencuri rantai leher kanak-kanak yang berada di lokasi tersebut. Rantai mangsa dipercayai dipotong dengan sesuatu objek sebelum ditarik dan dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd. Iqbal, suspek ditahan di sekitar lokasi sama berdasarkan rakaman video tersebut.
“Semakan lanjut mendapati wanita itu mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kes kecurian. Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd. Norazizi Samsuri di talian 014-9472881 atau balai polis berdekatan.
“Selain itu, saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika mengunjungi lokasi tumpuan dengan mengelak memakai barangan berharga,” katanya.
Terdahulu, video seorang kanak-kanak yang memakai rantai leher emas diragut seorang wanita bertudung coklat dan berpelitup muka ketika berada di karnival tersebut tular.
Video kejadian itu sempat dirakam secara tidak sengaja oleh ibu saudara kanak-kanak terbabit dan telah mendapat lebih 1.4 juta tontonan di TikTok setakat ini.
Dalam video itu, wanita berkenaan disyaki tidak melakukan seorang diri ketika kejadian apabila seorang wanita bertudung ungu disebelahnya seolah-olah memberitahu dia sedang dirakam.
Namun, wanita itu sempat memotong dan menarik rantai emas kanak-kanak itu sebelum bertindak bersembunyi di belakang seorang lelaki. – UTUSAN