LAMA juga Cik Bunga tak dengar khabar mengenai pelakon comel lote yang seorang ini. Namun, dalam perkembangan terbaru, muncul pula cerita kurang enak mengenainya.
Khabarnya, sejak kebelakangan ini, Wafariena yang pernah popular dengan drama 7 Hari Mencintaiku 2 sudah mula pandai buat perangai. Dah ramai yang orang produksi yang mengadu di belakang.
Kononnya, Wafa sekarang terlalu banyak ada ‘The Do’s and The Don’ts’ atau dalam kata lain terlalu banyak syarat bila dapat sesebuah tawaran berlakon. Itu tak boleh, ini tak boleh…
Sampaikan, dengarnya, ada produksi pun dah berasa jengkel nak berikan watak-watak tertentu kepadanya sebab bimbang dia mula cipta itu. Cik Bunga tak dapat nak bayangkan kerenah apa yang diciptakan oleh Wafa semasa di lokasi, tetapi bak kata orang industri, menjengkelkanlah.
Bagi Cik Bunga, kalau Wafa buat perangai begitu, menyusahkan banyak pihak, lebih baik jangan terima sesebuah tawaran berlakon itu. Kalau tak terima, orang pun tak akan mengata di belakang disebabkan terpaksa menghadap kerenah yang tak wajar.
Mungkin juga, Wafa kena cuba memahami situasi dan perlu ada semangat untuk mencabar diri lebih lagi jika benar ingin menjadi pelakon dan meneruskan kerjaya dalam bidang ini. Mungkin boleh cuba contohi sikap dan profesionalisme yang ada pada pelakon senior lain seperti Fasha Sandha.
Lagi satu, Cik Bunga pun sudah terlalu sering dengar keluhan ramai tentang sikap pengurus Wafa yang umpama lebih sudu daripada kuah. Ada juga kata-kata nakal di belakang, mengusik tanya siapa sebenarnya yang nak jadi pelakon ini? Aduhai… ini pun sudah banyak kali Cik Bunga maklumkan, ada baik buruknya jika melantik ibu atau bapa sendiri jadi pengurus.
Tetapi itu pilihan masing-masing, nak kata apa? Cik Bunga cuma harap Wafa ubah sikit cara supaya kerja pun jadi lebih mudah dan orang lain pun boleh kerja dengan tenang-tenang.