PETALING JAYA: Pengacara, Uyaina Arshad mengakui gementar dan dalam pada masa yang sama ragu-ragu untuk menerima tawaran untuk kembali mengacara program D’Academy Asia 6 di Indonesia.
Jelas Uyaina, selepas mendirikan rumah tangga dan bergelar ibu, keputusan untuk kembali mengacara program tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk dipersetujui apatah lagi dia juga perlu meminta izin suami, Raja Syahiran.
“Mula-mula itu memang ada rasa ragu-ragu, patut atau tidak saya kembali ke Indonesia untuk mengacara program popular tersebut. Banyak benda saya perlu fikir bila sudah menjadi isteri dan ibu.
“Tetapi suami sangat menyokong dan memahami minat saya. Dia yang bersungguh-sungguh untuk merantau ke Indonesia dan mengacara program tersebut.
“Malah, keluarga mentua saya juga menyokong keputusan tersebut. Alhamdulillah, semuanya dipermudah,” ujarnya.
Dalam pada masa sama, pelakon Kau Cipta Kasih itu juga bersyukur apabila pihak penyiar, Indosiar turut memberi kerjasama dengan memenuhi semua keperluan dan syarat yang ditetapkan oleh pihaknya.
“Bila saya cakap nak bawa anak, Raja Urhan, mereka setuju dan menyediakan rumah yang sangat besar dan mudah untuk kami. Tiga bulan saya di Indonesia, rumah baharu, suasana juga baharu.
“Semoga yang baik-baik sahaja untuk kita semua. Setakat ini, Urhan yang paling teruja,” kongsinya.-UTUSAN