UUM dalam kelompok 100 Times Higher Education

UUM dalam kelompok 100 Times Higher Education

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) tersenarai sebagai kelompok 100 universiti terbaik Asia dalam senarai Times Higher Education (THE), Ranking Universiti Asia 2023 yang dikeluarkan semalam.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, ketika ini universiti itu berada di kedudukan ke-99 berbanding 148 tahun lalu dan 155 pada 2021.

Katanya, lonjakan 49 anak tangga berbanding tahun lalu itu diyakini mampu membantu UUM untuk meluaskan lagi jaringan terutamanya di peringkat antarabangsa.

“Dalam penarafan dikeluarkan itu, UUM berkongsi kedudukan bersama tiga lagi universiti luar negara iaitu Universiti Jazan di Arab Saudi, International Business and Economics dari China dan Universiti Cankaya di Turkiye.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha dan komitmen warga UUM untuk sama-sama menjadikan universiti ini sebagai universiti pengurusan terkemuka, sekali gus menjayakan Pelan Strategik UUM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penarafan terbaharu itu meletakkan UUM sebagai universiti awam kedua terbaik di Malaysia dalam senarai tersebut, di belakang Universiti Malaya (UM) yang berada di kedudukan ke-66.  

Antara universiti tempatan lain yang tersenarai dalam penarafan tersebut adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kedudukan 149, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada kedudukan 154 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berada di tangga 161.

Mengulas lanjut Mohd. Foad berkata, lonjakan besar dicapai universiti itu didorong oleh peningkatan dalam impak sitasi, hasil curahan idea serta tenaga warga UUM.

“Pihak pengurusan universiti berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam mencipta sejarah manis ini termasuk naib-naib canselor dan barisan timbalan naib canselor sebelum ini.

“Kejayaan ini juga sudah tentu tidak mampu dicapai tanpa sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Tinggi yang banyak membantu bagi merealisasikan visi dan misi UUM,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya