TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta rakan strategiknya, Synergy Generated Sdn. Bhd. (SGSB) untuk membina panel solar photovoltaic (PV).
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, melalui kerjasama itu, mereka memperkenalkan modul baharu iaitu pembinaan insfrastruktur yang dilengkapi dengan panel solar PV berkapasiti 3.24MWp (Megawatt peak).
“Projek solar fasa pertama di kawasan Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City ini bakal memberi manfaat dan penjimatan sebanyak RM13.5 juta dan pengurangan pelepasan gas karbon sebanyak 56,000 tan sepanjang tempoh konsesi selama 20 tahun.
“Kerjasama ini selaras dengan hasrat UPSI yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif SGSB, Datuk Wan Shaharuddin Wan Mahmood; Ketua Pegawai Pelanggan TNB, Nasaruddin Mohd Zaini; Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Institusi Perbankan Bank Islam Berhad, Sharifah Sarah Syed Mohamad Tahir; Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad dan Datuk Seri Ahmad Burak dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.
Menurut Md. Amin, kerjasama antara UPSI Holdings dengan SGSB ini akan mewujudkan inisiatif bertepatan dengan objektif strategik ke arah pembangunan kampus pintar, digital, lestari dan mesra persekitaran.
Menurutnya, projek berkenaan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM7 juta dan dijangka siap pada Disember depan.
“Secara tidak langsung projek ini boleh digunakan oleh warga kampus serta mereka yang berminat.
“Kerjasama itu juga bakal membuka lebih banyak potensi penyelidikan, pemindahan teknologi dan juga peluang pekerjaan kepada graduan UPSI yang berminat menceburi bidang tenaga boleh baharu iaitu solar PV,” katanya.
Md. Amin berkata, UPSI juga perlu melaksanakan projek-projek yang membantu meningkatkan kelestarian kampus dan alam sekitar sekali gus meningkatkan penarafan universiti ini dalam UI Green Metric World University Ranking berkenaan inisiatif hijau.
“UPSI berada di kedudukan penarafan 132 di dunia pada 2022 dan inisiatif tersebut bakal melonjakkan kedudukan yang lebih baik pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN