Upah ‘tonto’ elak dikesan, KPDN tumpas aktiviti seleweng diesel dan subsidi - Utusan Malaysia

Upah ‘tonto’ elak dikesan, KPDN tumpas aktiviti seleweng diesel dan subsidi

ANGGOTA penguatkuasa KPDN negeri melakukan pemeriksaan aktiviti penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi menerusi serbuan dilakukan di Kampung Melayu, Padang Besar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel dan petrol menerusi Ops Tiris dalam dua serbuan berbeza sekitar Kampung Melayu, di sini, semalam.

Menerusi serbuan itu, sindiket itu juga dipercayai mengupah ‘tonto’ bagi mengenal pasti pergerakan pihak berkuasa dalam memastikan operasi mereka berjalan lancar.

Pengarah KPDN negeri, Norazah Jaapar berkata, dalam serbuan pertama di sebuah setor sekitar kawasan itu, anggota penguatkuasa mendapati terdapat sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing sedang menyedut keluar cecair disyaki minyak diesel dari tong drum ke tangki minyak kenderaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut bagi serbuan pertama ini menemukan sejumlah anggaran 640 liter minyak diesel dan 300 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseleweng oleh pihak terlibat.

“Nilai rampasan bagi serbuan pertama ini membabitkan rampasan diesel, petrol, tong drum, tong jerrican, pam eletrik sedut minyak bersama hos dan kenderaan adalah dianggarkan berjumlah RM53,451,” katanya.

Norazah berkata, dua suspek di mana salah seorang daripadanya merupakan warganegara asing turut ditahan dalam serbuan di setor berkenaan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Norazah berkata, menerusi serbuan kedua berhampiran kawasan itu, pihaknya memeriksa sebuah kenderaan bernombor pendaftaran tempatan yang dikenal pasti mempunyai tangki tambahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut oleh pasukan serbuan, sejumlah anggaran 300 liter disyaki minyak petrol turut ditemukan di dalam tangki tambahan kenderaan tersebut,” katanya.

Di samping itu, Norazah berkata, pemeriksaan dilakukan pihaknya turut menemui rekod senarai nombor pendaftaran kenderaan peribadi milik pegawai-pegawai dan kenderaan rasmi Pejabat KPDN negeri.

Ujarnya, tiada individu ditemui berhampiran lokasi kenderaan itu dan rekod maklumat berkenaan dipercayai digunakan untuk mengetahui pergerakan anggota Pejabat KPDN Perlis.

“Nilai rampasan bagi serbuan kedua adalah dianggarkan berjumlah RM5,615 dan modus operandi bagi kes ini adalah di mana rakyat tempatan menggunakan kenderaan mereka untuk membeli diesel dan petrol bersubsidi dari beberapa buah stesen minyak sekitar negeri ini lalu dibawa ke lokasi serbuan untuk dijual kepada pihak luar,” katanya.

Tambahnya, kertas siasatan bagi kes itu juga telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil selepas ini.

“KPDN ingin memberikan amaran keras ke atas mana-mana individu agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan dan kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan atau aktiviti haram ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya