SHAH ALAM: UMNO Bahagian Kota Raja mahu ketuanya, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz diketengahkan sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Hasrat tersebut dikemukakan Timbalan Ketua Bahagiannya, Abdul Raof Mokhtar yang memaklumkan penyertaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu selari dengan semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan.
“Sebagai seorang yang berdedikasi, berintegriti dan berpengalaman dalam bidang pentadbiran, saya percaya Tengku Zafrul mempunyai visi dan misi jelas untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.
“Pada ketika ini, di Parlimen Kota Raja, wakil-wakil rakyatnya datang dari PKR, Amanah dan DAP. Adalah wajar sekiranya DUN Sungai Kandis yang hampir 70 peratus terdiri daripada pengundi Melayu yang diwakili oleh UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, Ahli Dewan Negara itu diyakini akan berusaha gigih untuk memajukan kawasan DUN yang beliau tandingi dan mampu memperjuangkan kepentingan rakyat.
Jelasnya lagi, UMNO Bahagian Kota Raja menyokong penuh pencalonan Tengku Zafrul sebagai calon Kerajaan Perpaduan di Sungai Kandis dan dapat mewujudkan perubahan yang diimpikan bersama-sama.
“Bersama Tengku Zafrul, kita mampu mencapai masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua,” ujarnya.
Terdahulu Tengku Zafrul yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Bank menyertai kabinet selepas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantiknya sebagai Menteri Kewangan.
Kemudian, beliau menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Kuala Selangor, namun tewas kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Susulan gagal memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di sana, Tengku Zafrul kemudian berpindah keahlian UMNO ke Kota Raja sebelum diangkat sebagai Ketua Bahagian menggantikan Datuk Kamaruzzaman Johari. – UTUSAN