UMNO Johor tak dengar khabar angin tiga 'panglima perang' didakwa sertai gabungan PN  - Utusan Malaysia

UMNO Johor tak dengar khabar angin tiga ‘panglima perang’ didakwa sertai gabungan PN 

MOHAMED Khaled Nordin ketika lawatan ke Felda Bukit Easter, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: UMNO Johor tidak mendengar sebarang khabar angin berkenaan dakwaan tiga ‘panglima perang’ dari negeri ini yang dikatakan bakal menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau berharap khabar angin itu akan hanya kekal sebagai khabar angin.

“Saya baca perkara itu pun dalam surat khabar sama ada ia benar ataupun tidak, dari sudut kepimpinan parti, perkara itu kita tidak ada dengar. Kita berharap ia terus kekal sebagai khabar angin,” katanya selepas melakukan lawatan di Felda Bukit Easter, Kota Tinggi hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, meskipun situasi politik mempunyai pasang surutnya bagi beliau prinsip perjuangan dibawa parti itu tidak pernah berubah.

Katanya, tindakan ‘melompat’ apabila sesuatu keadaan tidak memihak adalah tidak wajar.

“Politik ini panjang, ada pasang surut, tetapi kita punya prinsip perjuangan dan penegasan kita di landasan kita sebenarnya tidak berubah. Walaupun ada pasang surut yang kadang-kadang kita naik kadang turun. Semua itu dah ada ketentuan.

“Jadi kita hadapi sahaja kerana ia boleh beri kita pengajaran dan jadi pengalaman dan panduan. Boleh juga menjadi panduan tetapi hidup mesti berprinsip takkan apabila keadaan tidak memihak kepada kita, maka kita pun terlompat-lompat sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, PN mengumumkan 10 ‘panglima perang’ atau ‘warlord’ UMNO yang bakal menyertai gabungan itu menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi, di mana tiga daripada mereka dikatakan berasal dari Johor.

Menurut sumber, ketiga-tiganya adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam UMNO sebelum ini.

Dalam pada itu mengulas lanjut mengenai perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam, Mohamed Khaled menyifatkan ia sebagai keterbukaan kerajaan Malaysia Madani.

“Ini menunjukkan keterbukaan Perdana Menteri untuk menerima dan berjumpa mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak dan ini mungkin sesuatu yang menyebabkan beliau menjemput saudara Khairy Jamaluddin.

“Saya percaya saudara Khairy Jamaluddin juga menggunakan segala peluang untuk menyampaikan apa sahaja pandangannya dalam soal membaiki dan melonjakkan kembali ekonomi Malaysia,” katanya.

Terdahulu perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara dipengerusikan Anwar petang semalam menarik perhatian apabila turut disertai Khairy.

Selain Khairy, turut hadir dalam perbincangan itu adalah bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya