KOTA KINABALU: Laporan nahas pesawat Double Six yang didedahkan pada awal April tidak sedikit pun mengubah perasaan keluarga mangsa yang terkorban.
Hari ini, perasaan waris mangsa yang hadir pada sambutan ulang tahun tragedi Double Six kekal sama, masih lagi tertanya-tanya kenapa tragedi hitam dalam sejarah Sabah itu disembunyikan begitu lama.
“Setiap tahun semasa berdiri di hadapan Tugu Peringatan Double Six, saya tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku? Kenapa insiden penting untuk Sabah ini disembunyikan daripada keluarga dan rakyat Sabah.
“Secara peribadi, perasaan saya masih sama setiap kali sambutan ulang tahun ini diadakan. Saya tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku,” kata Datuk Donald Peter Mojuntin yang merupakan anak sulung kepada Datuk Peter Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).
Namun, pendedahan laporan tragedi itu sedikit pun tidak membawa apa-apa perubahan kepada keluarga mangsa sebaliknya hanya menyebabkan luka lama berdarah kembali.
Beliau berkata demikian semasa ulang tahun tragedi Double Six di Tugu Peringatan Double Six di Sembulan hari ini.
Nahas pesawat Nomad 9M-ATZ yang berlaku pada 6 Jun 1976 telah mengorbankan 11 individu termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens, empat menteri Sabah dan enam yang lain.
“Selepas laporan didedahkan perasaan kami masih lagi sama, kami masih belum terima jawapan yang kami mahu. Berdasarkan laporan itu, ia dikatakan berkaitan kecuaian juruterbang dan pesawat beroperasi tanpa kebenaran.
“Tapi laporan itu tidak menjawab persoalan kenapa perkara ini disembunyikan lebih 40 tahun. Kalau tengok laporan tiada alasan diberikan jadi, keluarga rasa sedikit terkilan,” katanya.
Turut berkongsi perasaan sama ialah Kartina Sulong iaitu anak kepada Menteri Kewangan, Datuk Salleh Sulong yang turut terkoban dalam nahas pesawat berkenaan.
Menurut Kartina, beliau datang pada hari ini dengan perasaan yang sama kerana tragedi itu masih belum ada penutupnya. Laporan itu menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.
Sementara itu, anak kepada Tun Fuad Stephens, Faridah berkata, beliau tidak ingin memberi sebarang komen mengenai tindakan perundangan yang akan diambil.
Namun, apabila semua keluarga mangsa telah memutuskan apa tindakan yang bakal diambil maka, perkara itu akan diumumkan melalui peguam mereka. –utusan