MARAN: Hasil penemuan saintifik membuktikan keberkesanan ketum sebagai agen meningkatkan tahap daya tahan sakit dan anti keradangan.
Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka, Prof. Dr. Mohd. Ilham Adenan berkata, ketum asli tanpa campuran bahan lain digunakan sebagai pemulih tenaga di samping untuk rawatan penyakit darah tinggi, batuk, sakit otot, cirit-birit sejak zaman-berzaman.
“Ketum juga berguna untuk pesakit opioid kronik bagi merawat gejala tarikan morfin dan heroin yang digunakan kebanyakan negara barat seperti Amerika Syarikat,” katanya ketika mengulas prospek ketum kepada perubatan dan kesihatan manusia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam, jelasnya, UiTM Kampus Jengka di sini telah diberikan permit menanam pokok ketum sejak Januari 2020 oleh Kementerian Kesihatan bagi menjalankan kajian saintifik potensi tumbuhan itu kepada kesihatan dan perubatan manusia.
Menurutnya, permit secara tahunan itu membolehkan pasukan penyelidikan UiTM lebih bebas membuat ujian klinikal ketum potensi sebagai bahan perubatan.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 80 pokok ketum sudah ditanam di Rumah Hijau dalam kawasan kampus dengan mengikuti syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa.
“Projek ini kesinambungan kajian saya sejak 25 tahun lalu berkaitan potensi ketum atau nama saintifiknya Mitragyna Speciosa yang digunakan secara tradisional oleh masyarakat Melayu nusantara,” katanya.
Mohd. Ilham berkata, penyalahgunaan ketum terutama oleh penagih dadah menyebabkan ia diisytiharkan sebagai bahan larangan bermula 2003 di bawah Akta Racun 1952 di bawah Peraturan Kawalan Psikotropik walaupun penyelidikan dan kajian saintifik membuktikannya sebagai tumbuhan tenaga dan perubatan.
Tegasnya, kajian sama turut dijalankan oleh komuniti saintifik tentang kesan ketoksikan dan sampingan ketum yang melibatkan ketagihan serta halusinasi.
Beliau berkata, memandangkan ketum masih lagi dikawal di bawah Akta Racun 1952, kemajuan dan pembangunan tumbuhan itu sebagai ejen teraputik agak terencat.
Tegasnya, kajian saintifik dilakukannya dan kumpulan penyelidik membuktikan potensi tumbuhan herba ketum sebagai aset ekonomi dan perubatan.
“Kini terserah kepada kepimpinan kerajaan untuk mengklasifikasikan ketum sama ada halal atau haram. Barisan penyelidik yang berada di tengah-tengah kontra itu tetap meneruskan tugas saintifik,” katanya.
Beliau berkata, dalam hal ini negara jiran, Thailand dan Indonesia mendahului Malaysia malah dilaporkan Indonesia pengeksport terbesar ketum dunia. – UTUSAN