SHAH ALAM: Seorang pegawai perubatan yang didakwa bertugas di Klinik Kesihatan (KK) Kapar dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat bunuh diri dekat rumahnya pada 6 Jun lalu.
Berita tersebut ditularkan seorang pengguna media sosial Twitter yang menggunakan akaun @maddieness apabila membuat ciapan dalam Bahasa Inggeris mengenai kejadian tersebut.
“Dikhabarkan MO (pegawai perubatan) dari KK Kapar menggantung dirinya minggu lepas. Ketika hamil 20 minggu. Kes tragik. Semua perhatikan kawan-kawan HCP (kakitangan kesihatan) anda,” ciapnya semalam.
Malah, pengguna terbabit dalam ciapan bebenangnya memaklumkan berita berkenaan diperolehi daripada kakitangan yang bertugas di klinik berkenaan serta kenalannya.
Ciapan tersebut tular apabila dilihat lebih 295,300 pengguna, mendapat 2,057 tanda suka, 1,519 ulang ciap selain dipetik 159 kali dan ditanda 113 pengguna.
Selain ciapan tersebut, turut tular adalah poster memaparkan seorang wanita yang meninggal dunia dan dikaitkan dengan ciapan dan insiden tersebut.
Dalam poster itu, wanita berkenaan dikatakan meninggal dunia pada 6 Jun dan dikebumikan dekat tanah perkuburan Nirvana Seksyen 21, di sini pada 7 Jun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim mengesahkan berlaku insiden kematian seorang pegawai perubatan dari klinik sama pada tarikh berkenaan.
Menurutnya, siasatan mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Mangsa seorang doktor, dipercayai bunuh diri dengan cara menggantungkan diri dalam bilik stor,” katanya dalam satu makluman ringkas kepada pemberita. – UTUSAN