Tujuh anggota bomba Perak positif dadah - Utusan Malaysia

Tujuh anggota bomba Perak positif dadah

SAYANI Saidon (kiri) memakaikan tanda pangkat kepada anggota yang dinaikkan pangkat pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Meru Raya di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai tujuh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dikesan terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah pada tahun lalu.

Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, kesemua mereka dikesan selepas gagal dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan secara rambang.

Katanya, daripada jumlah itu, tiga kes dalam tindakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) manakala empat kes lagi telah dituduh di mahkamah.

“Bagi pihak bomba, kita sama sekali tidak akan bertoleransi dengan isu-isu disiplin pegawai dan anggota termasuk berkaitan ketidakhadiran bekerja dan penglibatan mereka dalam gejala dadah mahupun ketum.

“Mereka yang didapati terlibat dengan kes itu akan dirujuk dengan AADK untuk dibantu pemulihan pada peringkat awal.

“Bagaimanapun, sekiranya didapati aktiviti itu masih berterusan, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin yang lebih serius termasuk dibuang kerja,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga akan melaporkan penglibatan anggota dalam najis dadah ke peringkat pusat agar isu tersebut menjadi agenda penting untuk dibendung.

“Ujian air kencing ini dijalankan secara rambang di setiap balai untuk kita lihat berapa bilangan pegawai dan anggota yang mengambil barang terlarang.

“Pemeriksaan ini membolehkan tindakan awal diambil sekali gus dapat membantu mengekang gejala tersebut dari terus merebak. Bagi tahun ini, tiada kes yang direkodkan berbanding tujuh kes pada tahun lalu,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, dua kes direkodkan di bawah Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan Dua masing-masing membabitkan kes khalwat dan pemalsuan dokumen.

“Bagi kes khalwat, individu yang terlibat telah dikenakan tindakan buang kerja manakala bagi kes pemalsuan dokumen pula masih dalam tindakan mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya