ALOR SETAR: Kegiatan ‘Geng Mizan’ yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah serta premis di negeri ini dan Pulau Pinang serta Perak terhenti setelah tertangkapnya tujuh individu yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket tersebut sejak 20 Mei lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, penahanan enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 52 tahun itu diyakini berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah dan premis melibatkan kerugian lebih RM100,000.
Bagaimanapun katanya, polis sehingga kini masih giat memburu tiga lagi individu yang disyaki menjadi dalang utama kumpulan terbabit.
“Mereka yang ditahan mengaku telah melakukan sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah dan premis sebelum ini. Enam lelaki terbabit dipercayai menjadi antara tonggak sindiket berkenaan manakala wanita tersebut merupakan teman wanita salah seorang daripada mereka.
“Antara lokasi yang dipecah masuk adalah istana hinggap kerabat diraja di Taman Tunku Sarina, Jitra bulan lalu melibatkan kerugian lebih RM10,000 termasuk barangan yang dianggap cukup sentimental buat keluarga berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Wan Hassan berkata, modus operandi sindiket itu amat terancang termasuk mereka akan menyasarkan rumah atau premis kosong dan kebiasannya menjalankan kegiatan terbabit pada waktu malam termasuk menggunakan lori.
“Enam lelaki itu kesemuanya positif methamphetamine, manakala wanita terbabit negatif dadah. Antara barangan dirampas termasuk dua paket plastik berisi ketulan jernih kristal disyaki methamphetamine dan sebuah kereta jenis Proton Perdana yang disyaki digunakan dalam beberapa siri jenayah.
“Selain itu, semakan mendapati keenam-enam lelaki yang ditahan memiliki beberapa rekod lampau membabitkan kes jenayah, pecah rumah dan dadah. Salah seorang daripada mereka didapati memiliki hingga 13 rekod lampau sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, dua daripada tiga individu yang masih bebas dikenali sebagai Harmizan Kassim, 43, yang beralamat di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani serta Mohd. Sazali Saidin atau turut dikenali sebagai ‘Ayie’, berasal dari Padang Benggali Telok Air Tawar, Pulau Pinang.
“Seorang lagi individu masih dikenal pasti dan pihak kami yakin dapat memberkas mereka dalam masa terdekat. Mereka bertiga dipercayai merupakan dalang utama kumpulan tersebut dan mana-mana pihak yang memiliki maklumat mengenai mereka diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Ketika ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, (Akta 574) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234). Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan didenda,” katanya. –UTUSAN