SUNGAI SIPUT: Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) berjaya membantu ramai pelajar terutama dari golongan B40 dan luar bandar di negeri ini lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan baru-baru ini.
Ini dibuktikan menerusi keputusan SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Muda Abdul Aziz Sungai Siput (U) di sini yang mencatat peningkatan lulus daripada 93.18 peratus tahun lalu kepada 94.34 peratus tahun ini, apabila daripada 115 calon, 100 orang mencatat keputusan lulus.
TCS adalah inisiatif kerajaan negeri di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 yang menyediakan pelbagai inisiatif dan bantuan khusus iaitu tuisyen serta kelas tambahan, bantuan khas makanan dalam pelbagai program untuk pelajar di negeri ini menjelang peperiksaan.
Setiausaha Kecemerlangan SMK Toh Muda Abdul Aziz, Suaibah Mohd. Hijazi berkata, TCS terutama bantuan khas makanan yang disediakan sangat membantu pelajar golongan B40 dan luar bandar.
Katanya, bantuan khas makanan mendorong pelajar untuk terus berada di sekolah bagi mengikuti kelas tuisyen pada sebelah petang.
“Sebelum ini, tidak ramai pelajar yang dapat hadir kelas tambahan sebelah petang kerana kekangan dari segi kewangan. Kadangkala pelajar sudah makan pukul 10 pagi, jika tambah belanja untuk makan tengah hari, ini membebankan mereka. Jadi sukar untuk mereka terus berada di sekolah bagi mengikuti kelas tambahan pada petang.
“Tetapi apabila ada bantuan khas makanan TCS yang disediakan pada tengah hari, pelajar tidak perlu pulang atau keluar untuk makan tengah hari, mereka terus berada di sekolah untuk kelas tambahan.
“Sebelum ini ada pelajar yang memang minat belajar dan nak lulus SPM tapi terpaksa tahan lapar, alas perut hanya makan roti dan ada yang tak makan tengah hari sebab belanja hanya untuk makan semasa waktu rehat. TCS banyak membantu mereka.
“TCS patut diteruskan demi membantu pelajar yang kurang berkemampuan. TCS memberi mereka semangat, ada sokongan daripada Menteri Besar dan itulah yang mereka ‘beri balik’ menerusi keputusan SPM baru-baru ini,” katanya.
Guru Kanan Bidang Bahasa, Md. Nor Hisham Musa berkata, sebelum ini pihak sekolah memberi kelonggaran kepada murid untuk pulang atau makan tengah hari di luar sebelum mereka kembali semula ke sekolah bagi mengikuti kelas tambahan.
Katanya, namun kerana kekangan kewangan, tidak ramai yang dapat hadir semula ke sekolah.
“Bantuan khas makanan TCS membolehkan pelajar terus berada di sekolah untuk mengikuti kelas tambahan.
“TCS banyak menolong pelajar, mereka jadi bersemangat dan berusaha untuk lulus SPM. Guru juga teruja dengan jumlah kehadiran pelajar yang meningkat,” katanya.
Sementara itu, Pengetuanya, Mohd. Rizal Mohd. Yusof memuji komitmen yang ditunjukkan oleh guru di sekolah itu yang terlibat menjayakan TCS.
“TCS patut dikekalkan, jika mahu ditambah baik mungkin dari segi peruntukkan kerana kos bahan mentah makanan semakin meningkat,” katanya. – UTUSAN