Tuisyen Cikgu Saarani bantu ramai lulus SPM

Tuisyen Cikgu Saarani bantu ramai lulus SPM

SAIDATUL Afifah Badaruddin (tengah) melihat keputusan peperiksaan SPM bersama rakan-rakannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Muda Abdul Aziz Sungai Siput (U), Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang dilancarkan kerajaan negeri dua tahun lalu untuk menolong pelajar yang menduduki peperiksaan utama termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), membantu ramai calon lulus peperiksaan SPM 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

Ini dibuktikan menerusi keputusan SPM 2022 bagi calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Muda Abdul Aziz Sungai Siput (U) di sini yang mencatat peningkatan lulus, iaitu daripada 93.18 peratus tahun lalu kepada 94.34 peratus tahun ini.

Daripada 115 calon yang menduduki peperiksaan, 100 orang mencatat keputusan lulus.

Pengetuanya, Mohd. Rizal Mohd. Yusof berkata, program itu terbukti membantu pelajar khususnya daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40) membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan SPM.

Katanya, menerusi program ini, pelajar mendapat pelbagai inisiatif dan bantuan khusus iaitu tuisyen dan kelas tambahan, bantuan khas makanan dalam pelbagai program menjelang peperiksaan.

“Terima kasih kepada Menteri Besar kerana memperkenalkan Program Tuisyen Cikgu Saarani. Wang yang diperuntukkan di bawah program ini kami gunakan sepenuhnya untuk membantu pelajar membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan SPM 2022, kami gunakan untuk kelas tuisyen malah sampai ke malam.

“Program ini banyak membantu pelajar dari golongan B40 dan luar bandar kerana ramai di antara mereka yang tak mampu nak ke kelas tuisyen. Kalau mereka mengikuti kelas dari pagi, untuk terus mengikuti kelas tambahan pada sebelah petang, kalau tak ada makanan, macam mana mereka mahu terus berada di sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Rizal berkata, lebih membanggakan apabila program itu membantu mengubah keputusan calon yang mencatat keputusan gagal semasa ujian percubaan SPM kepada lulus.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha kuat dan komitmen semua guru di sekolah ini yang bersama-sama menjayakan Program Tuisyen Cikgu Saarani,” katanya.

Program Tuisyen Cikgu Saarani adalah cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang dilancarkan pada Februari 2021.

Semasa pelancarannya, Saarani berkata, bantuan khas makanan disediakan di bawah program itu berikutan kebimbangannya jika tiada makanan tengah hari, pelajar lapar dan kalau mereka balik makan dikhuatiri tidak sempat kembali ke sekolah untuk menghadiri kelas tambahan secara intensif setiap petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN