PUTRAJAYA: Kementerian Luar menangkis beberapa tohmahan tidak benar mengenai pemeteraian dua triti melibatkan sempadan laut wilayah antara Malaysia dan Indonesia meskipun sudah dijelaskan Perdana Menteri di Parlimen pada 13 Jun lalu.
Menerusi kenyataan, Wisma Putra menjelaskan, Triti Laut Sulawesi yang sebenarnya tidak membabitkan sempadan maritim Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan pelantar benua kedua-dua negara yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan ND7 dan Indonesia pula merujuk sebagai Ambalat.
Katanya, kedua-dua triti itu hanya melibatkan bahagian laut berdampingan pantai serta tidak lebih 12 batu nautika selain tidak membabitkan had Pelabuhan Tawau di Sabah serta Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor yang masih kekal.
“Untuk Triti Laut Sulawesi, sempadan separa laut wilayah berdasarkan garis perbatasan menghubungkan titik M, B1, B, C dan P tetapi ada zon belum dimuktamadkan,” katanya.
Malaysia dan Indonesia memeterai triti itu termasuk Triti Selat Melaka untuk sempadan paling selatan ketika lawatan Presiden Joko Widodo ke negara ini pada 8 Jun lalu.
Walau bagaimanapun, ada pihak tertentu menyebarkan fitnah kononnya Triti Laut Sulawesi yang kaya rizab minyak mentah seolah-olah menggadaikan kedaulatan negara susulan laporan media asing mendedahkan sejumlah kapal tentera laut Indonesia bertindak mempertahankan zon dipertikaikan itu sejurus triti berkenaan ditandatangani.
Kedua-dua negara itu namun komited meneruskan perundingan bagi melengkapkan jurang dari tikas air surut ke East Pillar secara menyeluruh selewat-lewatnya pada Jun 2024.
Pemimpin Malaysia dan Indonesia juga menugaskan pasukan perundingan untuk memulakan sesi perbincangan secepat mungkin bagi sempadan yang belum dimuktamad.
Wisma Putra turut menafikan kononnya ada dokumen lima muka surat bertajuk Nota Memorandum Menteri Luar Bagi Penyelesaian Isu Sempadan Maritim yang disediakan kerana ia jelas menyeleweng daripada fakta sebenar proses rundingan triti.
“Kerajaan tidak pernah dan tidak sekali-kali mengambil ringan dalam pembuatan sebarang keputusan melibatkan kedaulatan Malaysia termasuk isu sempadan laut,” tegasnya lagi.
Bahkan ujarnya, pemeteraian dua triti itu amat bersejarah hasil proses rundingan selama 18 tahun melibatkan aspek teknikal, perundangan, ekonomi dan hubungan diplomatik.
Kali terakhir dua negara berjiran serantau tersebut memeterai triti seumpama itu ialah pada 1970 dan pihak kerajaan yakin isu sempadan dapat diselesaikan terutama di ZEE sekali gus membolehkan pelbagai aktiviti ekonomi termasuk eksploitasi sumber marin dilaksanakan selain pencegahan jenayah rentas sempadan. – UTUSAN