Transformers: Rise of the Best, belajar jadi manusia daripada robot

Transformers: Rise of the Beasts, belajar jadi manusia daripada robot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM menghurai panjang tentang francais filem Transfomers yang menjengah ke pawagam, penulis sebenarnya takjub memikirkan bagaimana hayat cerita ini yang asalnya diperkenalkan dalam komik hitam putih pada 1975 boleh bertahan sehingga hari ini.

Transformers iaitu cerita tentang alien yang dijelmakan dalam bentuk robot adalah idea yang asing, aneh dan segar pada masa sama. Lebih menarik, kita menikmati keunikan itu hampir lima abad lamanya.

Walaupun Transformers meng­­hadapi kritikan yang tidak kurang tajamnya khususnya bagi Transformers : The Last Knight (2017) sekali gus menamatkan jo­doh Michael Bay sebagai pe­ngarah. Namun, ia masih signifikan.

Hari ini, francais Transformers hadir dengan siri terbaharunya Transformers: Rise of the Beasts di bawah tanggungjawab Steven Caple Jr. sebagai sutradara selepas melihat sentuhannya yang tidak mengecewakan untuk Bumblebee pada 2018.

KARAKTER YANG KUKUH

Transformers: Rise of the Beasts dibawakan dalam latar 1994, memperkenalkan kita kepada Noah, bekas tentera yang dibawakan oleh Anthony Ramos dan Elena, pengkaji artifak yang dibawakan oleh Dominique Fishback.

Act satu filem ini banyak mengukuhkan karakter Noah dan Elena yang bakal menunjangi filem ini sehingga ke hujung plot. Elena yang bekerja di sebuah muzium tiba-tiba terjebak dalam misi mendapatkan kunci ‘trans-wrap’ daripada artifak misteri.

Penonton menyaksikan kembali himpunan autobot yang masih hidup seperti Mirage dilakonkan suara oleh Pete Davidson, bersama Optimus Prime lakonan suara oleh Peter Cullen. Mereka semua bergerak dalam garis takdir yang sama sepanjang Rise of the Beasts.

Bagi memastikan kunci itu tidak jatuh ke tangan musuh. Mereka diterbangkan ke Peru bagi menjejaki kod rahsia dan mengesan letak kedudukan sebenar kunci berkenaan. Di sinilah act dua filem ini bermula.

Juga, di sinilah timbul sedikit kepincangan terhadap plot dalam siri filem terbaharu ini. Walaupun dibantu oleh lima penulis lakon layar, sayangnya ia terlalu cepat, tidak kemas mengadun emosi khususnya oleh barisan autobot Maximals. Pun begitu, percubaan itu ada walau belum cukup kuat, terasa.

Ketika menonton filem ini, penulis tertarik dengan watak Airazor yang mempunyai karisma tersendiri dan memberikan impak kuat dari segi emosi. Karakternya berkembang sangat baik sehingga mengajar manusia menjadi manusia walaupun dia hanya sebuah autobot.

Setelah disemak siapakah pelakon suaranya, rupa-rupanya ia dibawakan oleh Tan Sri Michelle Yeoh. Patutlah menangkap.

Mujur sahajalah, act tiga filem ini seperti menebus semula kekecewaan di act kedua. Ia kembali mencipta momentum dari segi aksi, pergerakan kamera di samping imej janaan komputer yang cemerlang manakala kerencaman emosi antara manusia dan robot seperti ditunjukkan Mirage dan Noah bergaul lebih baik berbanding beberapa babak sebelumnya. Ia tragis dan manis.

Pujian juga perlu diberikan kepada pasukan audio dan penyusun skor di bawah kelolaan Jongnic Bontemps kerana ia benar-benar bagus.

MERAKAM ZAMAN DARIPADA ELENA 

Oleh sebab filem ini dipetik dari latar 90-an, suka untuk penulis mengajak penonton melihat subteks yang ingin dibawakan pasukan penulis lakon layar menerusi watak Elena.

Walaupun Elena, pengkaji artifak yang bagus, namun kerjanya tidak pernah diberikan kredit sewajarnya. Semua pujian diberikan kepada rakan sekerjanya yang berkulit putih. Ia menunjukkan kesenjangan antara kulit hitam dan putih sangat ketara zaman itu.

Secara keseluruhan, Transformers: Rise of the Beasts adalah filem bertih jagung yang okay untuk dilaburkan sepanjang 2 jam dan 7 minit tayangan. Premis­nya mudah namun setidaknya watak dan karakternya solid. Bu­kanlah pilihan merugikan untuk anda menonton filem ini di pawagam hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya