Tradisi pisang goreng aroma kayu api

Tradisi pisang goreng aroma kayu api

ROKIAH Saleh menggoreng pisang menggunakan kayu api di gerainya di Kampung Tengah, Chukai, Kemaman. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Keenakan pisang goreng yang dimasak menggunakan dapur kayu mendorong seorang peniaga Rokiah Saleh mengekal tradisi diwarisi daripada keluarganya itu.

Biarpun terpaksa berdepan dengan asap dan bahang panas, Rokiah, 55, yang menetap di Kampung Tengah, Chukai, dekat sini, masih kekal menggunakan kaedah lama.

Malah, dia yang memulakan operasi perniagaannya pukul 10 pagi sentiasa tidak menang tangan menggoreng pisang lebih tujuh jam sehari, tanpa henti berikutan gerainya sentiasa dikunjungi pelanggan.

Ibu kepada tiga anak dan memiliki empat orang cucu ini berkata, perniagaan pisang goreng kayu api yang berusia lebih 50 tahun tersebut diwarisi daripada arwah ibu mentua­nya, Asiah Ismail sejak 20 tahun lalu.

“Sekarang tak ramai peniaga yang masih guna kayu api sebab tak sanggup nak bertemankan asap dan bahang panas seperti nenek moyang dahulu, lagipun sekarang ada dapur gas yang lebih mudah.

Rokiah berkata, setiap hari, dia mampu menjual 40 hingga 60 kilogram pisang goreng pelbagai jenis termasuk pisang nangka dan kelat siam.

“Pisang yang digoreng dengan minyak yang panas mengambil masa kira-kira 15 minit dan ketika menggoreng, mak cik perlu sentiasa memastikan api menyala dengan kuat bagi memastikan minyak benar-benar panas dan pisang digoreng lebih rangup.

“Bagaimanapun, kita perlu pandai mengawal api kerana bimbang pisang goreng akan hangus,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN