ALOR SETAR: Letupan melibatkan sebuah kereta yang mencederakan tiga beranak dipercayai berpunca daripada tabung gas dalam kenderaan tersebut dalam kejadian di Taman Industri Ringan Sri Mergong, di sini tengah hari tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Tuah Omar, 54, dan isterinya, Noor Azllina Abu Bakar, 34, serta anak mereka Mohamad Firdaus Syawal, 5.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, terdapat dua tong gas dalam kenderaan itu yang berisi gas untuk kegunaan bantuan pernafasan.
“Tiga beranak berkenaan pergi ke lokasi tersebut untuk mengisi dua tabung gas bagi kegunaan bantuan pernafasan. Selesai mengisi gas, kedua-dua tong tersebut dimasukkan ke dalam kereta untuk mereka pulang ke kampung sebelah isteri di Kempas, Johor.
“Tiba-tiba tong gas tersebut meletup dan mengakibatkan kebakaran. Berikutan itu, mangsa lelaki bersama anaknya cedera serius di badan dan isterinya pula mengalami kecederaan ringan dan dirawat di zon kuning Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan tiga beranak melecur antara 30 peratus hingga 95 peratus akibat kebakaran tersebut.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 12.35 tengahari, namun api berjaya dipadamkan orang awam dan pemilik kedai berhampiran menggunakan alat pemadam api. –UTUSAN