BUKIT MERTAJAM: Durian Tokun Top D220 atau nama saintifiknya ‘durio zibethinus’ dijangka menjadi antara varieti durian yang bakal mencuri tumpuan pada Pesta Durian Bukit Mertajam 2023 bermula minggu depan.
Berasal dari kampung sekitar Cherok Tokun, durian itu dikenali kerana kulitnya yang hijau keperangan dan isi berwarna kuning lembut dengan tekstur serta kandungan krim yang sederhana.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad berkata, selain memperkenalkan varieti durian baharu itu, Pesta Durian Bukit Mertajam 2023 yang julung kalinya diadakan itu juga bertujuan membantu peniaga dan pekebun kecil memasar dan mempromosikan buah durian serta produk hiliran berasaskan ‘Raja Buah’ itu.
“Pesta durian tersebut akan diadakan selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 Jun ini di Mydin Bukit Mertajam bermula dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.
“Selain pelbagai gerai menjual buah durian, aktiviti lain yang turut berlangsung sepanjang pesta berkenaan ialah deko memasak kuih-muih dan dodol berasaskan durian serta jualan barangan berasakan durian dari FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan),” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran pesta tersebut di Green View Durian Orchard di sini yang turut dihadiri oleh Pengarah FAMA negeri, Mohd. Azraie Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon.
Sementara itu, salah seorang pemilik Green View Orchard, Zhang Pei Pei berbesar hati kerana ladang duriannya terpilih untuk menjayakan majlis prapelancaran pesta itu.
Menurut Pei Pei, selain mengusahakan Tokun Top D220, mereka turut mengusahakan beberapa varieti durian lain secara organik.
“Greenview Orchard adalah ladang durian yang diwarisi daripada bapa mertua saya dan ladang ini kini telah berusia 50 tahun.
“Kami bangga kerana dapat meneruskan tradisi penanaman serta penjagaan durian di sini,” katanya yang telah menanam sehingga 120 pokok durian ketika ini dan meletakkan kod QR pada setiap pokok bagi memudahkan pemantauan dilakukan.
Sempena prapelancaran itu juga, Pei Pei turut membawa kesemua tetamu meninjau ke kebun durian tersebut dan berkongsi panduan serta pengetahuan berkaitan penanaman durian. – UTUSAN