SETIU: Pelbagai tohmahan buruk dan fitnah yang diterima daripada individu tertentu dan pesaing perniagaan tidak menjadi halangan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Haji Land Bhd., Datuk Mohammad Azlan Abdullah@Ali mencapai kejayaan dalam perniagaan hartanah.
Mohammad Azlan yang bergelar jutawan hartanah berkata, sebaliknya, beliau menjadikan dugaan tersebut sebagai cabaran untuk bekerja lebih tekun bagi membuktikan kejayaan yang dicapai adalah daripada hasil titik peluhnya.
Menurutnya, kejayaan diperoleh itu pula akan dikongsi bersama masyarakat dengan mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Insya-Allah, saya merancang untuk mengembangkan perniagaan saya dalam bidang pembinaan perumahan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program motivasi bertajuk llmu Cahaya Kehidupan anjuran Unit Kaunseling Sekolah Kebangsaan (SK) Merang di sini, hari ini.
Pada masa sama, Mohammad Azlan memberitahu, beliau mula menerima pelbagai tohmahan buruk tersebut daripada individu dan pesaing perniagaan untuk menjejaskan perniagaan dan peribadinya sejak tahun 2021.
Katanya, kebanyakan tohmahan itu diterima daripada pihak yang cemburu dengan kejayaannya dalam perniagaan hartanah termasuk memperkenalkan skim bayaran insurans tanpa faedah kepada pelanggan.
Menurutnya, pada masa ini, serangan peribadi itu dilakukan dengan menggunakan akaun palsu di media sosial.
“Jika betul dakwaan yang dilimparkan, mereka boleh mengambil tindakan mengikut perundangan yang sewajar terhadap saya,” ujarnya
Pada masa sama, tambahnya, beliau telah mengambil tindakan saman terhadap beberapa individu dan pesaing perniagaan yang membuat fitnah terhadapnya dalam tempoh beberapa tahun ini.
“Kebanyakan kes tersebut masih dalam prosiding di mahkamah,” katanya.- utusan