Tindakan pengusiran, peniaga kerusi, meja Pantai Tanjung Aru

Tindakan pengusiran, peniaga kerusi, meja Pantai Tanjung Aru rasa tertindas

PERKHIDMATAN kerusi dan meja yang disediakan di Pantai Tanjung Aru di Kota Kinabalu diarah hentikan operasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Selepas hampir setahun menyediakan perkhidmatan kerusi dan meja di Pantai Tanjung Aru, tiga peniaga berhadapan tindakan pengusiran daripada syarikat pemaju.

Pengerusi Penjaja Pantai Tanjung Aru (Penaja), Dahlan Jahsiri berkata, mereka seperti dianiaya oleh pihak pemaju apabila diarahkan untuk menghentikan perkhidmatan menyedia kerusi dan meja di pantai tersebut.

Beliau berkata, surat arahan menghentikan perkhidmatan itu diterima sejak Februari lalu sehingga membawa kepada tindakan mahkamah.

DAHLAN JAHSIRI

Katanya, perkhidmatan menyedia kerusi dan meja itu dimulakan atas cadangan pihak pemaju dalam mesyuarat bersama penjaja pada tahun lalu.

“Pemaju yang memberi cadangan supaya kami menyediakan ruangan meja dan kerusi untuk pengunjung. Itu sebabnya kami mengeluarkan modal sendiri membeli kerusi dan meja yang berharga RM400 setiap set, kesemuanya ada 30 set.

“Selepas mengeluarkan modal membeli kerusi dan meja kini, kami menerima arahan mengosongkan kawasan tersebut. Jadi, dimana kami hendak meletakkan kerusi dan meja yang telah dibeli? Siapa mahu membayar ganti rugi kos yang kami telah belanjakan?. Kami betul-betul rasa seperti tertindas,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut beliau, kadar sewa kerusi dan meja tersebut adalah antara RM5 hingga RM10 setiap meja.

Dahlan berkata, permohonan menyediakan perkhidmatan kerusi dan meja di Pantai Tanjung Aru itu telah dikemukakan beberapa kali kepada pihak pemaju namun, ia ditolak tanpa sebarang alasan.

Katanya, bukan mereka tidak cuba mendapatkan kebenaran, permohonan telah dikemukakan beberapa kali namun ditolak. Maka, mereka meneruskan perniagaan kerana peralatan kerusi dan meja telah pun dibeli.

Justeru, beliau berharap pihak pemaju dapat memberi pertimbangan sewajarnya kepada peniaga kecil seperti mereka untuk terus menyediakan perkhidmatan kerusi dan meja di Pantai Tanjung Aru.

“Sekiranya pemaju ingin mengenakan kadar sewa tapak sekalipun, kami sedia untuk membayar sewa. Malah, kami juga telah menawarkan diri untuk membayar sewa tapak sebelum ini namun, tidak dipersetujui oleh pihak pemaju,” katanya. – utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN