Tiga lelaki didakwa perdaya dua wanita serah barang kemas - Utusan Malaysia

Tiga lelaki didakwa perdaya dua wanita serah barang kemas

KETIGA-tiga tertuduh di bawa ke Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis hari ini bagi menghadapi dua pertuduhan memperdaya wanita pada bulan Januari dan Jun tahun ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua lelaki warga tempatan dan seorang warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan dua wanita pada bulan Januari dan Jun tahun ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, Kilin Demar, 65, Jori Harahap, 58, dan Mesri Bakri, 56, didakwa telah memperdayakan Azizah Mat Noh, 71, di Pasar Pokok Getah, Arau, pada 27 Januari lalu.

Tertuduh didakwa memperdaya mangsa sehingga mempercayai bahawa mereka dapat memurahkan rezeki dan mendorong pihak terlibat menyerahkan dua utas rantai tangan emas bernilai RM10,000.

Berikutan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Pertuduhan bagi kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ab Rashid di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Mahkamah menetapkan kesemua tertuduh diberi jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun Jori yang merupakan warga Indonesia perlu dijamin oleh dua warga tempatan selain pasport antarabangsa miliknya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga tertuduh didakwa memperdaya seorang wanita, Noraini Senawi, 52, bagi mempercayai perubatan yang ditawarkan mereka adalah benar sehingga mendorong mangsa menyerahkan barang kemas miliknya bernilai RM19,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pasar Besar Sena pada 3 Jun lalu sekitar pukul 10 pagi.

Susulan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebat bersama denda.

Pertuduhan bagi kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom di hadapan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali.

Mahkamah menetapkan kesemua tertuduh diberi jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun Jori yang merupakan warga Indonesia perlu dijamin oleh dua warga tempatan selain pasport antarabangsa miliknya turut diserahkan kepada mahkamah.

Mesri bagaimanapun dapat membayar jumlah jaminan tersebut manakala dua lagi tertuduh gagal berbuat demikian.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Julai depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya