Tiga lelaki didakwa pecah rumah, samun pasangan warga emas - Utusan Malaysia

Tiga lelaki didakwa pecah rumah, samun pasangan warga emas

TIGA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata dan menyimpan barang curi. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga lelaki yang diberkas minggu lalu kerana dipercayai terbabit kes pecah rumah dan samun melibatkan pasangan warga emas, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Pada prosiding di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad, dua daripada tertuduh, M. Hari Chandran, 41, dan Lawrence Anthony Das, 39, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata.

Pertuduhan ke atas kedua-dua mereka dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil.

Mengikut kertas pertuduhan, dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau terhadap Chan Liew Chan, 72, di Regat Tasek Timur 20, Taman Ria di Ipoh dalam daerah Kinta pada pukul 3 pagi, 24 Mei 2023.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh mengambil kira mereka terlibat dalam jenayah di lokasi dan mangsa yang sama sebanyak tiga kali dalam masa sebulan.

Bagaimanapun, Mohamad Nazreen berkata, sekiranya jaminan ditawarkan, ia disertakan dengan syarat tambahan termasuk tidak mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Hari Chandran dan Lawrence yang tidak diwakili peguam memohon agar diberi jaminan yang minimum.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh beserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kedua-dua tertuduh juga dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran pada 1 dan 15 hari bulan, setiap bulan. Kes disebut semula pada 7 Julai 2023.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang lagi tertuduh, M. Shashipal Singh, 33, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azizah Ahmad atas pertuduhan menyimpan harta curi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit jenama Huawei kepunyaan Liew Chan dengan pengetahuan yang boleh dipercayai harta itu adalah hasil rompakan berkumpulan di Rumah Pangsa Bercham Lengkok, Bercham Timur, Ipoh pada pukul 3.45 petang, 4 Jun 2023.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dituduh mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Kes disebut semula pada 7 Julai 2023.

Media sebelum ini melaporkan, pasangan warga emas berusia 80 dan 72 tahun hidup dalam ketakutan apabila kediaman mereka dipecah masuk tiga kali dalam tempoh sebupan.

Kejadian itu bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda malah mangsa juga cedera lutut kanan selepas mengalami retak akibat ditolak oleh seorang daripada suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN