PETALING JAYA: Tiga klon kopi Liberica baharu yang dilancarkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bakal membantu pengusaha memperoleh peningkatan pendapatan serta pengeluaran kopi negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, inovasi tersebut, pada masa sama membantu negara dalam mengurangkan kebergantungan import kopi yang tinggi ketika ini.
Katanya, ini memandangkan teknologi kopi Liberica baharu mempunyai kualiti lebih baik dan berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai produk premium dengan fungsi kesihatan.
Beliau berkata, ketiga-tiga klon baharu yang dinamakan MKL 8, MKL 9 dan MKL 10 adalah set ketiga yang diisytihar selepas set pertama (MKL 2, MKL 3 dan MKL 4) yang diisytihar pada tahun 1995 dan set kedua (MKL 5, MKL 6 dan MKL 7) pada tahun 2008.
“Klon-klon terbaharu ini amat sesuai disyorkan kepada petani atau pengusaha tanaman kopi untuk meningkatkan hasil sekali gus menjana pendapatan petani. Purata hasil kopi jambu bagi set klon kopi baharu ini antara 17 hingga 25 t/ha, iaitu sehingga 60 peratus lebih tinggi daripada hasil klon komersial sedia ada.
“Dengan peratus pertukaran kopi jambu kepada kopi beras sebanyak 10 peratus, klon baharu ini mampu menghasilkan kopi beras antara 1.9 hingga 2.7 t/ha, iaitu 25 peratus lebih tinggi dari klon komersial,” katanya.
Menurut beliau, dengan keunikan kualiti dan citarasa kopi Liberica Malaysia akan menjayakan hasrat kerajaan dan pihak berkepentingan dalam meningkatkan ekonomi rakyat dan negara.
Untuk rekod, sehingga kini, MARDI mengisytiharkan sepuluh klon kopi Liberica dan Robusta sejak tahun 1995 dan pembangunan set ketiga klon kopi tersebut sudah dimulakan pada tahun 1982.
Ia dengan pemilihan sebanyak 28 aksesi kopi daripada koleksi janaplasma kopi Liberica, dibiak secara klonal dan dinilai dalam peringkat penilaian awal hasil bermula tahun 1997 hingga 2005.
Seterusnya 14 klon terpilih dimajukan ke peringkat penilaian lanjutan hasil bermula tahun 2015 hingga sekarang.
Setelah melalui beberapa peringkat penilaian, sebanyak tiga klon kopi dikenal pasti mempunyai prestasi hasil dan kualiti terbaik untuk diperkenalkan.
MARDI juga melancarkan teknologi pengeluaran bahan tanaman bagi kopi menggunakan kaedah keratan yang boleh mempercepatkan proses pengeluaran bahan tanaman iaitu lapan ke sembilan bulan berbanding kaedah konvensional (cantuman baji) yang mengambil masa lebih lama 15 ke 16 bulan.
Difahamkan, dengan penjimatan masa selama enam ke lapan bulan, teknologi tersebut turut dapat menghasilkan anak pokok kopi tanpa menggunakan pokok penanti.
Foong Hin berkata, dengan adanya kaedah tersebut yang dapat menghasilkan anak pokok menggunakan keratan tanpa pokok penanti akan dapat membantu menjimatkan kos pengeluaran, tenaga buruh, masa dan input-input lain. – UTUSAN