MENCIPTA nama pada dekad 90-an, jenama kumpulan Cromok tidak perlu diperkenalkan lagi khususnya mereka yang menggilai muzik underground.
Apa yang menariknya kumpulan ini tampil dengan identiti sendiri dengan mengetengahkan originality dari pelbagai sudut antaranya, kekuatan vokal, riff dan solo gitar harmonic yang dikenali dengan istilah ‘thrashitional’ sekali gus dilihat keluar dari kepompong pemuzik thrash sedia ada, hari ini.
Menggabungkan pengaruh heavy metal dengan unsur melayu tradisional yang ditonjolkan dalam beberapa buah lagu seperti Ulek, Metallurgical dan Siblings menjadikan kumpulan Cromok berjaya membentuk keunikan di samping mempromosi nuansa thrash metal tempatan sebagai aura penting untuk kumpulan ini bergerak lebih jauh ke hadapan.
Ditubuhkan pada tahun 1987 oleh empat orang anak muda iaitu, Din (vokal/gitaris), Karl (gitar), Sam (vokal/bass) dan Miji (dram) yang ketika itu sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Wollongong New South Wales, Australia.
Mereka memulakan pengembaraan muzik dengan mengasah bakat di pentas berskala kecil sekitar pelosok benua hijau seterusnya memiliki peminat tegar dan berjaya menempa nama dalam kancah Metal Sydney sehingga muncul sebagai kumpulan terbaik Sydney berdasarkan undian oleh Hot Metal Magazine.
Atas beberapa faktor, Din kemudiannya menarik diri dan membawa haluan sendiri dengan menubuhkan D’cromok manakala Karl, Sam dan Miji pulang ke Malaysia dan tekad meneruskan perjuangan mereka bersama Cromok.
Album pertama, Image of Purity diterbitkan pada 1991 dengan lagu-lagu seperti Misty, Journey, Metallurgical dan Prophecy yang dilihat berjaya mendapat sambutan hangat peminat sehingga meraih Anugerah Emas berikutan jualannya yang mencecah lebih 70,000 unit .
Ini diikuti dengan album-album seterusnya iaitu Forever InTime (1993), Yours Truly (1996), Mean, Meaner, Meanest (1999), What’s Left (2000), Deafening Silence (2002), Untitled (2003) dan beberapa buah album kompilasi yang lain.
Forever In Time, album kedua yang berjaya merangkul platinum berganda pada tahun 1994 menjadikan mereka ternama di puncak arena metal tanah air.
Lagu-lagu seperti Memories, I Don’t Belong Here, Misery, Obsessed dan Another You cukup terkenal dalam kalangan peminat sehingga muzik keras yang diketengahkan oleh kumpulan ini dilihat tidak lagi janggal, malah setiap kali mengadakan persembahan pentas ribuan penonton akan hadir untuk memberikan sokongan kepada kumpulan ini.
Selain berjaya menjadi penghias muka depan akhbar dan majalah metal seluruh dunia, Cromok terus ditawarkan peluang mengadakan persembahan dalam pelbagai festival yang diadakan seluruh negara termasuklah diberi penghormatan membuat persembahan pembukaan ketika berlangsungnya Konsert Metallica “Live In Kuala Lumpur” di Stadium Merdeka pada tahun 2013.
Bersempena ulang tahun ke-30 Cromok pada 14 Oktober akan datang, kumpulan ini sekali lagi akan bertemu peminat dalam ‘Konsert Ulang Tahun ke-30 ‘Forever In Time’ yang akan diadakan di pentas Zepp Kuala Lumpur.
Konsert anjuran Digent Media ini dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam yang pastinya dibarisi oleh pemuzik-pemuzik handalan sedia ada.
Selain menjanjikan persembahan bertenaga, Cromok juga bakal mempamerkan ‘Wall of Fame’ eksklusif yang menyimpan pelbagai khazanah dan kenangan indah sejarah kumpulan ini. Pastinya ada beberapa kejutan istimewa yang mungkin tidak pernah disaksikan oleh peminat-peminat mereka sebelum ini.
Untuk informasi tiket CAT 2 dan CAT 3 serta VIP Box habis dijual sejak dilancarkan 20 Jun lalu. Peminat masih berpeluang untuk membeli tiket CAT 1, RM289.Pembelian boleh dilakukan di: https://www.myticketempire.com/cromok30thanniversaryconcert
Ayuh, Cromers semua, Jom kita gegarkan pentas Zepp pada 14 Oktober ini!