Tidak ambil SPM, berniaga ‘online’ - Utusan Malaysia

Tidak ambil SPM, berniaga ‘online’

PELUANG perniagaan yang semakin terbuka khususnya secara dalam talian mendorong sesetengah remaja tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaliknya terus mencari pendapatan sendiri.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Peluang perniagaan yang semakin terbuka khususnya secara dalam talian mendorong sesetengah remaja tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaliknya terus mencari pendapatan sendiri.

Potensi besar dalam bidang itu yang memberikan pulangan lumayan menyebabkan kebanyakan mereka lebih memilih untuk mengumpul aset di usia muda berbanding menyambung pelajaran.

Ia diakui oleh seorang bekas pelajar yang berasal dari Padang Besar dikenali sebagai Afiq, 18, apabila dia memilih untuk tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lalu bagi memberikan fokus terhadap perniagaan barangan dari Thailand secara dalam talian.

Menurut Afiq, dia mampu menjana pendapatan RM2,000 sehingga RM3,000 sebulan hasil perniagaan dalam talian barangan seperti kosmetik, makanan dan pelbagai lagi yang mendapat permintaan dari seluruh Malaysia.

“Sejak kecil lagi saya telah bantu saudara untuk berniaga di Padang Besar dan apabila dapat mencari duit sendiri, ia memberi perangsang buat saya untuk memberikan fokus terhadap bidang perniagaan dalam talian.

“Saya juga tidak berapa mahir dalam akademik dan lebih berminat untuk bekerja bagi mengumpulkan aset sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan harus mengenal pasti kira-kira 30,000 pelajar yang tercicir dari SPM supaya mereka boleh diserap ke mana-mana program latihan sedia ada.

Ketika ini dianggarkan 30,000 pelajar tidak menghadiri peperiksaan SPM dan perlu hidup tanpa sijil minimum yang diperlukan untuk memohon pelbagai jawatan termasuk dalam kerajaan.

Terdapat kebimbangan golongan ini akan terus memasuki alam pekerjaan yang tidak menepati kemampuan dan menidakkan negara daripada kepakaran dalam bidang teknologi dan kemahiran.

Dalam pada itu, Afiq berkata, dia berpendapat lepasan SPM yang menyambung pelajaran juga belum terjamin mampu meraih peluang pekerjaan apabila menamatkan pengajian kelak.

“Jika sambung belajar di IPT (Institut Pengajian Tinggi) saya perlu habiskan masa lagi tiga ke empat tahun dan dalam tempoh itu, saya mampu meraih pendapatan yang lumayan atau ratusan ribu melalui berniaga.

“Disebabkan itu saya pilih untuk fokus meniaga dan tidak menduduki SPM bagi mengumpul aset yang banyak di usia muda,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya